Golf Amal Montfort 11 Okt

21 Sep 2025 • 10:14 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Orang ramai digesa menyokong Kejohanan Golf Amal Montfort 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 7 pagi di Sabah Golf & Country Club pada 11 Oktober.

Acara mengumpul dana tahunan anjuran Pusat Latihan Belia Montfort (MYTC) diadakan untuk menyokong misi Montfort dalam menyediakan pendidikan dan latihan vokasional kepada belia yang kurang bernasib baik dan belia yang berisiko di Sabah.

Kejohanan bakal dilangsungkan dalam format stableford berdasarkan handicap terendah terbuka kepada pemain golf amatur dengan insurans yang sah.

Pengerusi penganjur Datuk Willie Wong dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata selain hadiah untuk pemenang dalam semua kategori serta hadiah novelty, terdapat juga hadiah menarik lain termasuk hadiah Hole-in One iaitu sebuah Proton EV E’Mas serba baharu tajaan Fook Loi Eurocar Sdn Bhd) selain wang tunai RM20,000 tajaan Muhibbah Dua Sdn Bhd, serta hadiah cabutan bertuah termasuk TV Pintar 65” tajaan beliau sendiri.

“Kejohanan amal ini bukan sekadar permainan golf, tetapi ia memberi harapan dan peluang kepada belia yang kami berkhidmat.

“Setiap hayunan, setiap pukulan putt dan setiap sumbangan akan membantu misi Montfort.

“Semua hasil daripada kejohanan ini akan memberi manfaat secara langsung kepada Pusat Latihan Belia Montfort dalam usaha berterusan kami untuk memupuk, mendidik, dan memperkasakan belia Sabah yang kurang bernasib baik.

“Apa yang kami lakukan adalah untuk memberi peluang kedua kepada anak-anak ini. Mereka kebanyakannya dari kawasan luar bandar dan biasanya tidak pandai dalam pelajaran, tetapi mereka boleh menjadi sangat mahir dalam bidang lain dan kami memerlukan banyak dana untuk melatih dan menampung mereka,” katanya.

Willie turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur atas kerja keras mereka dan semua penaja atas sokongan mereka.

Turut hadir pada Jumaat ialah timbalan pengerusi penganjur Datuk Johnny Wong, ahli jawatankuasa Datuk Kamal DE Quadra, Paul Ong dan pengarah MYTC Frederick Mah.

Sementara itu, yuran pendaftaran acara amal itu ditetapkan RM1,000 setiap pemain atau RM4,000 setiap kumpulan empat orang.

Tarikh tutup adalah pada 1 Oktober dan mereka yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi 088-755811/088-755815.