Dong Zong kecewa syarat kemasukan pelajar UEC ke universiti awam, dakwa banyak sekatan

LocalPolitics
15 May 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dong Zong kecewa syarat kemasukan pelajar UEC ke universiti awam, dakwa banyak sekatan
Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kecewa dengan KPT berhubung kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam yang didakwa masih samar dan mengandungi pelbagai sekatan.

SHAH ALAM - Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kecewa dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam yang didakwa masih samar dan mengandungi pelbagai sekatan.

Dong Zong dalam satu kenyataan berkata, terdapat dua mekanisme berbeza bagi pelajar UEC yang memohon kemasukan ke universiti awam.

"Pemegang UEC yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh dibenarkan memohon semua program pengajian melalui sistem UPUOnline.

"Sebaliknya, pelajar yang hanya mengambil dan lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM pula dihadkan kepada empat program pengajian yang berkaitan dengan bahasa Cina sahaja.

"Mengapakah wujud perbezaan yang begitu ketara dalam pemilihan program pengajian bagi pelajar SMPC yang sama-sama memiliki sijil UEC? Apakah rasional di sebalik penetapan dua standard yang berbeza ini?" ujarnya pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, KPT juga belum menjelaskan secara terperinci kaedah pengiraan merit serta tarikh permohonan dibuka, yang jelas menunjukkan pendekatan tergesa-gesa dan kurang teliti.

"Pendekatan yang hanya membenarkan pemegang UEC dengan kelayakan SPM Bahasa Melayu dan Sejarah memasuki bidang pengajian tertentu bukan sahaja menyekat kebebasan pelajar dalam merancang laluan pendidikan mereka, malah turut mengehadkan peluang perkembangan diri dan potensi masa depan mereka," ulasnya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menjelaskan, mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM kekal menjadi syarat wajib bagi kemasukan ke IPTA untuk pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan.

"SPM tetap wajib walaupun dia (pelajar) belajar aliran itu. Sebab penilaian UPU (sistem UPUOnline) kita ialah berdasarkan kepada keputusan SPM.

"Maknanya dia menduduki dua peperiksaan termasuk lulus mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu yang diiktiraf oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia,” kata Zambry kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di Putrajaya pada Jumaat.