
KUALA LUMPUR - Kos sara hidup di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Putrajaya direkodkan sebagai yang tertinggi di negara ini.
Indeks Perbelanjaan Kehidupan Wajar (Decent Living Expenditure Index) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati, analisis Indeks Perbelanjaan Kehidupan Wajar bagi isi rumah tahun lalu dengan Kuala Lumpur dijadikan titik rujukan pada nilai indeks 100, menunjukkan perbezaan yang ketara antara negeri.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata, Selangor merekodkan indeks tertinggi pada 92 mata bagi isi rumah seorang, diikuti Pulau Pinang pada 84.2 dan Putrajaya pada 83.1.
Menurut beliau, nilai terendah direkodkan di Kelantan dan Sarawak masing-masing pada 53.7 mata, serta Kedah pada 56.6.
“Corak yang sama turut diperhatikan bagi isi rumah dua orang, dengan Selangor pada 91.4 mata indeks, Putrajaya dan Pulau Pinang masing-masing pada 84.6 mata, manakala indeks terendah dicatatkan di Kelantan pada 58, Kedah pada 58.7 dan Perlis pada 58.8.
“Bagi isi rumah tiga orang, indeks secara umumnya lebih tinggi, dengan Selangor kekal tertinggi pada 92.4 mata, diikuti Putrajaya pada 84.8 dan Pulau Pinang pada 83.7, manakala yang terendah adalah di Sabah pada 59.6, Perlis pada 60.6 dan Kedah pada 60.8,” katanya.
Jelas Uzir, Selangor sekali lagi merekodkan indeks tertinggi pada 91.3 mata untuk isi rumah empat orang, diikuti Putrajaya pada 84.7 dan Melaka pada 83, manakala indeks terendah kekal di Sabah pada 59.4, Kedah pada 60.5 dan Perlis pada 60.9.
“Negeri dengan indeks tinggi seperti Selangor mencerminkan kos sara hidup yang lebih tinggi, manakala negeri dengan indeks lebih rendah seperti Kelantan, Kedah dan Perlis menunjukkan kos sara hidup yang lebih rendah tetapi masih munasabah,” katanya.
DOSM hari ini turut mengeluarkan Penunjuk Kos Sara Hidup Malaysia 2024, yang menyediakan gambaran menyeluruh mengenai kos sara hidup isi rumah dan mencerminkan perbelanjaan yang diperlukan untuk mencapai taraf hidup yang wajar serta penyertaan bermakna dalam masyarakat.
Indeks Perbelanjaan Kehidupan Wajar merupakan penunjuk baharu yang diperkenalkan bagi mengukur tahap perbelanjaan yang diperlukan untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah di pelbagai lokasi.
Ia menyediakan ukuran relatif perbelanjaan purata di peringkat negeri, daerah pentadbiran dan bandar raya, sekali gus membolehkan perbandingan antara lokasi.
Indeks ini dibina dengan menetapkan Kuala Lumpur sebagai nilai rujukan 100, manakala semua lokasi lain diukur secara relatif berdasarkan penanda aras tersebut.
Nilai indeks yang lebih rendah menunjukkan keperluan perbelanjaan yang lebih rendah untuk mencapai taraf hidup yang wajar berbanding rujukan, manakala nilai yang lebih tinggi mencerminkan keperluan perbelanjaan yang lebih besar.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata berdasarkan analisis indeks, kos untuk kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah jauh lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur, iaitu sebanyak 46.3 peratus.
“Ini bermakna jika isi rumah seorang di Kuala Lumpur membelanjakan nilai Perbelanjaan Kehidupan Wajar sebanyak RM1,000, ia hanya memerlukan RM537 jika tinggal di Kelantan.
“Bagi isi rumah empat orang pula, perbelanjaan kehidupan wajar di Perlis adalah 39.1 peratus lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur. Ini bermakna jika isi rumah empat orang di Kuala Lumpur membelanjakan RM1,000, ia hanya perlu membelanjakan RM609 di Perlis,” tambahnya.
Di peringkat daerah pentadbiran, Mohd Uzir memaklumkan bahawa hanya Petaling di Selangor merekodkan nilai indeks yang melebihi rujukan Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah, iaitu dari seorang hingga empat orang.
Bagi isi rumah seorang, Petaling merekodkan indeks tertinggi pada 103.3 mata, diikuti Gombak di Selangor pada 94.9 dan Johor Bahru pada 94.7. Indeks terendah direkodkan di Pantu pada 27.8, Lingga pada 28.3 dan Sebuyau pada 29.1, kesemuanya di Sarawak.
“Bagi isi rumah dua orang, Petaling kekal tertinggi pada 104.8 mata, diikuti Timur Laut di Pulau Pinang pada 94.9 dan Gombak pada 94.6, manakala indeks terendah direkodkan di Pantu pada 29.9, Lingga pada 31 dan Membakut di Sabah pada 31.2.
“Analisis bagi isi rumah tiga dan empat orang menunjukkan trend yang sama, dengan Petaling terus mendahului manakala Membakut merekodkan indeks terendah. Merentasi semua saiz isi rumah, indeks di Pantu adalah kurang daripada satu pertiga indeks Petaling, sekali gus menonjolkan perbezaan ketara kos sara hidup antara daerah pentadbiran,” tambahnya. - Getaran, 24 Disember 2025

