KL, Selangor, Pulau Pinang dan Putrajaya catat kos sara hidup tertinggi – DOSM

LocalBusiness & Finance
24 Dec 2025 • 3:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KL, Selangor, Pulau Pinang dan Putrajaya catat kos sara hidup tertinggi – DOSM image is not available haziq24/12/2025 - 15:16 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Dis - Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Putrajaya dicatatkan mempunyai kos sara hidup paling tinggi berdasarkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi tahun 2024.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, analisis Indeks PAKW dengan Kuala Lumpur dijadikan rujukan pada paras 100 mata indeks menunjukkan perbezaan ketara kos sara hidup antara negeri.

 

Menurut beliau, bagi isi rumah seorang, Selangor mencatat indeks tertinggi pada 92 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Putrajaya (83.1). 

 

Sebaliknya, indeks terendah dicatatkan di Kelantan dan Sarawak masing-masing 53.7 mata serta Kedah (56.6).

 

Corak hampir sama turut dilihat bagi isi rumah dua orang dengan Selangor mencatat 91.4 mata indeks, diikuti Putrajaya dan Pulau Pinang masing-masing 84.6 mata manakala Kelantan (58), Kedah (58.7) dan Perlis (58.8) berada pada kedudukan terendah.

 

Bagi isi rumah tiga orang, Selangor kekal mencatat indeks tertinggi pada 92.4 mata, diikuti Putrajaya (84.8) dan Pulau Pinang (83.7). 

 

Indeks terendah pula dicatatkan di Sabah (59.6), Perlis (60.6) dan Kedah (60.8).

 

Sementara itu, bagi isi rumah empat orang, Selangor sekali lagi mendahului dengan 91.3 mata indeks, diikuti Putrajaya (84.7) dan Melaka (83). 

 

Sabah (59.4), Kedah (60.5) dan Perlis (60.9) kekal sebagai negeri dengan indeks terendah.

 

Mohd Uzir berkata, negeri yang mencatat indeks tinggi seperti Selangor menunjukkan kos sara hidup yang lebih tinggi manakala negeri dengan indeks rendah seperti Kelantan, Kedah dan Perlis mencerminkan kos hidup yang lebih rendah tetapi masih berada pada tahap kehidupan wajar.

 

DOSM hari ini menerbitkan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai perbelanjaan minimum yang diperlukan isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar dan menyertai masyarakat secara bermakna.

 

Indeks PAKW merupakan indikator baharu yang digunakan untuk mengukur tahap perbelanjaan asas kehidupan wajar di peringkat negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri dengan Kuala Lumpur dijadikan nilai rujukan.

 

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur. 

 

Sebagai contoh, jika perbelanjaan PAKW di Kuala Lumpur adalah RM1,000, hanya RM537 diperlukan di Kelantan.

 

Bagi isi rumah empat orang pula, kos kehidupan wajar di Perlis adalah 39.1 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur. 

 

Ini bermakna, perbelanjaan RM1,000 di Kuala Lumpur hanya memerlukan sekitar RM609 di Perlis.

 

Di peringkat daerah pentadbiran, hanya daerah Petaling di Selangor mencatat Indeks PAKW melebihi Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah. 

 

Bagi isi rumah seorang, Petaling mencatatkan 103.3 mata indeks, diikuti Gombak (94.9) dan Johor Bahru (94.7).

 

Bagi isi rumah dua orang, Petaling kekal tertinggi pada 104.8 mata indeks, diikuti Timur Laut, Pulau Pinang (94.9) dan Gombak (94.6). 

 

Daerah dengan indeks terendah pula termasuk Pantu dan Lingga di Sarawak serta Membakut di Sabah.

 

Menurut Mohd Uzir, analisis bagi isi rumah tiga dan empat orang turut menunjukkan trend yang sama, dengan Petaling kekal mendahului manakala Membakut mencatat indeks terendah, sekali gus menonjolkan jurang kos sara hidup yang ketara antara daerah pentadbiran di Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard