Dr. Ainul anak Kelantan yang mengabdikan khidmat di pedalaman

LocalHealth & Fitness
9 Sep 2026 • 10:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dr. Ainul anak Kelantan yang mengabdikan khidmat di pedalaman

KOTA BHARU – Kelantan kehilangan seorang anak kelahiran Kota Bharu, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin yang meninggal dunia ketika menjalankan amanah menerusi perkhidmatan doktor udara (FDS) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pemergian Allahyarham amat menyayat hati ketika beliau sedang berkhidmat membawa rawatan dan harapan kepada mereka yang memerlukan.

“Allahyarham telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan. Pemergiannya meninggalkan kehilangan buat Kelantan, yang kehilangan seorang anak yang telah menabur bakti jauh dari tanah kelahirannya.

“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terlibat. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarham, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

Menurut kenyataan CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang ketika dihubungi mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian kira-kira 3.40 petang semalam. – Bernama

The post Dr. Ainul anak Kelantan yang mengabdikan khidmat di pedalaman appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved