
PETALING JAYA – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengambil pendekatan tersendiri mengumpul dana bagi membantu membaik pulih rumah penduduk kampung dengan menjual ikan tilapia.
Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, Dr. Akmal memaklumkan sebanyak 450 ekor ikan tilapia berjaya dijual dan hasil jualan itu mencecah RM14,474.
Menurutnya, kutipan berkenaan bukan sahaja diperoleh daripada jualan ikan, malah terdapat pembeli yang turut menyumbang dengan membayar lebih daripada harga ditetapkan.
“Alhamdulillah, 450 ekor ikan tilapia telah berjaya kita jual dan hasilnya adalah sebanyak RM14,474 telah kita dapat.
“Terima kasih kepada yang membeli dan sambil menyumbang. Ada yang beli seekor, tetapi sumbang lebih daripada harga 100 ekor ikan,” katanya.
Dr. Akmal berkata, setiap sen yang diperoleh daripada hasil jualan berkenaan akan digunakan bagi membaik pulih rumah dua penduduk kampung yang memerlukan bantuan.
“Insya-Allah setiap sen yang kita dapat daripada hasil jualan ini akan kita gunakan untuk baik pulih rumah dua orang kampung kita sesegera yang mungkin.
“Sikit sahaja lagi nak capai RM20,000. Terima kasih semua. Anak kampung untuk orang kampung,” katanya.
Dalam rakaman yang dikongsikan, kelihatan Dr. Akmal bersama beberapa individu menguruskan sendiri proses jualan termasuk menimbang dan membungkus ikan tilapia untuk diberikan kepada pembeli.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang memuji usaha Dr. Akmal kerana mengadakan inisiatif berkongsi rezeki demi membantu golongan memerlukan.
“Alhamdulillah. Terima kasih banyak kepada Yang Berhormat Dr. kerana berkongsi rezeki bersama. Sambil membeli, sambil menyumbang,” komen Nur Haya.
““Alhamdulillah, segala sumbangan semoga diberkati Allah SWT,” komen Normah.
“Usaha tangan sendiri, berkat. Pandai berniaga,” komen Salman Layali. – KOSMO! ONLINE
The post Dr. Akmal jual ikan untuk bina rumah appeared first on Kosmo Online.





