
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini, tular satu video mengenai kisah seorang lelaki warga emas menjaga isterinya yang sedang sakit sewaktu menjalankan berniaga air di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Menurut pakcik berkenaan isterinya menghidap strok dan juga kencing manis, malah dia juga duduk di atas kerusi roda serta tidak boleh bercakap.
Pasangan ini turut mempunyai seorang anak perempuan berusia 21 tahun yang membantu mereka menjalankan perniagaan air di gerai tersebut. Dia yang mesra dikenali sebagai Aliah, sebelum ini ada menyuarakan hasrat ingin menyambung pelajaran di peringkat diploma serta ingin menjadi seorang guru.
Namun disebabkan keadaan ibu dan ayah yang sakit, hasrat itu terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.
Asyraf Wajdi tawar anak pakcik jual air belajar di Giat Mara
Mendengar mengenai kisah tersebut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan ingin membantu keluarga berkenaan.
Menerusi video yang dikongsikan Asyraf Wajdi di TikTok, kelihatan beliau dan pihak MARA telah datang berkunjung ke rumah pakcik yang juga dipanggil Abang Din untuk bertemu dengan keluarganya.
Dalam video itu kedengaran Asyraf bertanya kepada Aliah adakah dia ada belajar di mana-mana selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bapa juga ada sakit, sukar jika hanya tinggal berdua kalau anak tiada
Aliah lalu memaklumkan dia tidak menyambung pelajaran kerana membantu mak dan ayah. Abang Din atau nama penuhnya Ah Yauddin yang juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi lalu menjelaskan Aliah tidak boleh meninggalkan dirinya.
Ini kerana, ada ketika dia juga tidak berasa sihat kerana tidak boleh hanya tinggal berdua dengan isterinya. Mungkin kerana sukar untuk menguruskan isterinya bersendirian dan memerlukan bantuan Aliah.
“Kita tawarkan dia GiatMARA dekat-dekat sini sahaja. Macam GiatMARA ini dia fleksibel sedikit. Kita tengok kenal pasti dekat Klang ni dia khursus bakeri.
“Kalau kita boleh masukkan dalam GiatMARA ni satu hingga dua jam sehari, enam bulan selepas itu kita boleh bagi geran perniagaan.
“Geran perniagaan sokongan dan pengukuhan keusahawanan luar bandar (SPKLB) , RM2,000 tunai manakala RM4,000 (diberi) untuk beli peralatan, belajar bidang untuk berniaga,” ulas Dr Asyraf lagi kepada Aliah dan bapanya.
Boleh sambung belajar ke peringkat seterusnya jika kesihatan ibu sudah membaik
Jelas Dr Asyraf lagi sekiranya ada peluang apabila keadaan ibu sudah sedikit membaik, Aliah juga boleh menyambung pelajaran ke Institut Kemahiran MARA dan boleh dibantu dari segi pemberian geran serta peralatan untuk berniaga.
Kata Dr Asyraf lagi sekiranya Abang Din memberikan kebenaran untuk Aliah menyambung pelajaran, beliau sendiri akan meminta kebenaran menteri untuk mempercepatkan kelulusan geran.
“Nak sesuatu ni kena berusaha, belajar dekat GiatMARA ni, belajar buat kuih, rotim kita ajar juga macam mana nak menggunakan TikTok.
“Sebab Aliah pun aktif dengan TikTok. Akan datang dengan mesin yang ada dia tak perlu pun jual dekat luar, jual daripada rumah sahaja.”
Turut bawa beberapa doktor ketika lawat pakcik untik periksa isterinya
Dalam masa sama, Dr Asyraf turut membawa beberapa doktor dari UNI Klinik yang merupakan klinik di bawah MARA yang akan datang ke rumah pakcik itu untuk memeriksa kesihatan isteri pakcik berkenaan.
Bukan hanya itu, pasukan UNI Klinik turut memberi tunjuk ajar bagaimana ingin menggunakan peralatan sedut kahak yang disumbangkan oleh penyanyi, Caprice kepada Aliah dan bapanya.
Sebelum berangkat pulang, Dr Asyraf turut menyampaikan beberapa sumbangan daripada para medik di UNI Klinik serta wang perbelanjaan dari MARA untuk Aliah memulakan pelajaran nanti.
MARA BANTU ADIK ALIAH “Saya nak sangat belajar tapi siapa yang nak jaga mak yang sakit dan bantu ayah berniaga?” Nampak raut wajah Siti Nur Aliah, 21 tahun antara pengharapan dan kebimbangan melalui kata-kata yang diungkapkan tatkala saya menawarkan untuk beliau menyambung pengajian dalam bidang konfeksioneri dan bakeri di GiatMARA yang berhampiran dengan kediamannya di Meru, Kapar. Beberapa hari lalu ramai yang tag saya di media sosial perihal keluarga En Ah Yauddin yang berniaga air balang di Pasar Malam Lembah Pantai. Kisah yang cukup menyayat hati bagaimana kecekalan seorang suami sanggup menggendong isteri yang sakit akibat stroke dari kediamannya di tingkat 4 di Meru setiap Sabtu untuk dibawa berniaga di Pasar Malam Pantai Dalam. Petang tadi saya hadir menziarahi keluarga ini dengan turut membawa doktor-doktor dari rangkaian klinik USAHAWAN MARA iaitu UnI Klinik dan UnI Farmasi untuk membuat pemeriksaan kesihatan isterinya dan juga En Ah Yauddin yang turut menderitai penyakit buah pinggang tahap 4. Saya terus menawarkan kepada anaknya Aliah untuk menyambung pengajian dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA terdekat, selain akan bantu untuk beliau untuk menjadi usahawan dengan mendapatkan Geran Perniagaan di bawah Kementerian Desa Dan Wilayah berupa mesin dan peralatan membuat roti dan kek bernilai RM6,000. Selain itu MARA juga akan membantu menawarkan kursus jangka pendek untuk mempersiapkan Alia sebagai usahawan digital yang mampu memanfaatkan platform media sosial seperti tiktok untuk berniaga. Saya percaya hanya ILMU dan KEMAHIRAN sahaja boleh merubah kehidupan. Tidak selamanya harus bergantung kepada sumbangan orang ramai ataupun zakat. Sebab itulah MARA lebih terdorong untuk membantu keluarga ini dengan memberikan kail dan melatih bagaimana menggunakan kail untuk memancing bagi kelestarian hidup mereka berbanding memberikan ikan yang hanya dapat dinikmati buat seketika sahaja. #HidupBiarBerjasa #MerakyatkanMARA #HidupKuMilikUmmah #GiatMARA
Ramai harap Aliah dapat sambung belajar
Melihat di ruangan komen, ramai yang berharap agar Aliah dapat menyambung pelajaran semula.
Malah ada juga yang kagum dengan ketabahan Aliah dalam menjaga kedua ibu bapanya. Tak kurang juga ada yang sedih apabila mengenangkan Aliah yang terpaksa menangguhkan hasrat untuk belajar kerana mahu membantu kedua ibu bapanya.
“Korang kena faham, ayah dia bukan tak nak kasi (belajar). Mak ayah mana nak tengok anaknya susah. Tapi korang kena faham Aliah satu-satunya anak dia. Kalau Aliah keluar rumah macam mana dia orang berdua. Dua-dua tak sihat”

“Sedih dengar bila ayah dia tak kasi sambung belajar, tapi sebenarnya Aliah ni nak sangat belajar. Semoga dipermudahkan urusan Aliah sekeluarga. Masuk lah GiatMARA tu Aliah”

“Sehari 2 jam untuk belajar, okay juga ilmu dan geran dapat, jaga ibu dan berniaga pun boleh. Okay sangat tu.”


![Tular Dakwaan Air Paip Seperti Kopi Di Sebuah IPT Undang Perhatian Ramai [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/home-and-living.jpeg)


