Dr. G. Rajasekaran mahu kekalkan ‘tiada orang miskin’

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dr. G. Rajasekaran mahu kekalkan ‘tiada orang miskin’

PORT DICKSON – Pengalaman turun padang dan pendekatan menyelesaikan isu rakyat secara langsung menjadi sandaran calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr. G. Rajasekaran untuk meneruskan agenda pembangunan kawasan itu.

Beliau berkata, tiga perkara utama yang akan terus diberi perhatian sekiranya diberi mandat ialah memastikan status sifar miskin tegar kekal, memperkukuh ekonomi rakyat terutama pengusaha kecil serta meningkatkan kesejahteraan ma­syarakat setempat.

Menurutnya, pencapaian Sri Tanjung yang berjaya keluar daripada kategori miskin tegar adalah hasil usaha berterusan mengenal pasti masalah keluarga terlibat dan memastikan bantuan yang diterima benar-benar memberi perubahan.

“Sebelum ini terdapat kira-kira 15 hingga 18 keluarga miskin tegar di kawasan itu, namun pendekatan pemantauan berterusan membolehkan mereka dibantu sehingga mencapai status sifar miskin tegar.

“Bagi saya, angka sifar itu perlu dipertahankan. Ia bukan hanya tentang menyelesaikan masalah pada satu ketika, tetapi memastikan keluarga terbabit terus stabil dan tidak kembali ke kategori miskin tegar.

“Kita juga memberi perhatian kepada keluarga yang hampir miskin tegar supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya ketika ditemui pada siri walkabout sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Taman PD Utama di sini semalam.

Image from: Dr. G. Rajasekaran mahu kekalkan ‘tiada orang miskin’

Dr. G. Rajasekaran berkata, selain isu kemiskinan, beberapa projek dan masalah lama yang membelenggu penduduk turut diberi perhatian termasuk menyelesaikan projek sakit seperti Krematorium Sua Betong yang tertangguh hampir 10 tahun.

“Usaha menyelesaikan isu berkenaan membolehkan projek itu kembali beroperasi dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Dalam bidang pendidikan, beliau berkata, pembangunan mo­dal insan menjadi antara fokus utama kerana pendidikan awal memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kanak-kanak.

Selain pendidikan formal, beliau turut memberi penekanan terhadap kemudahan pembelajaran komuniti apabila berjaya membawa penubuhan sebuah Perpustakaan Komuniti Bestari yang pertama di Negeri Sembilan di DUN Sri Tanjung.

Katanya, perpustakaan komu­niti berkenaan diwujudkan di Flat Sri Bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan menyediakan kemudahan kepada pelajar meneruskan pembelajaran selepas tamat waktu sekolah.

“Konsep berkenaan akan diperluaskan ke kawasan lain sekiranya mendapat mandat kerana kemudahan seperti itu mampu memberi peluang sama rata kepada semua lapisan masyarakat.

“Kita perlu menjaga anak-anak yang kurang berkemam­puan. Dengan adanya kemudahan seperti perpustakaan komuniti, mereka mempunyai ruang yang lebih baik untuk belajar dan me­n­ingkatkan pencapaian,” katanya.

The post Dr. G. Rajasekaran mahu kekalkan ‘tiada orang miskin’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved