
Dr Hanis USIM Cemerlang Raih “PhD Without Correction” Dari Cambridge
“Saya selalu bersyukur diletakkan di jalan ini.”
Itulah bait kata penuh makna daripada seorang wanita Malaysia yang layak digelar “beauty with brain”, Dr. Hanis Hidayu Kasim.
Perjalanan akademik beliau bukan sekadar satu lagi kisah kejayaan yang terlakar menjadi kebanggaan tanah air. Malah, ia sebuah kisah yang cukup menginspirasikan ramai.

Menurut Dr. Hanis, segalanya bermula ketika beliau bertemu dengan tokoh hebat, Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar. Dari situ, beliau melangkah sebagai trainee lecturer di Unit Fisiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), USIM.
Tidak berhenti di situ, buat pertama kalinya beliau menceburi dunia penyelidikan ketika menyiapkan pengajian sarjana di bawah seliaan Prof. Rafidah bersama PM Dr. Maiza Masri.
“Kejayaan ketika pengajian sarjana telah memberikan saya kekuatan dalaman untuk percaya bahawa sebenarnya Hanis Hidayu ini memang mampu melakukannya. Kenapa sebelum ini sering rasa tidak berdaya?
“Begitulah besarnya pengaruh orang sekeliling saya pada waktu itu, yang berjaya membentuk satu cara berfikir baharu dalam diri,” kongsi beliau.
Kata-kata itu mencerminkan bagaimana sokongan daripada mentor dan rakan sekeliling mampu mengubah persepsi seseorang terhadap potensi diri sendiri. Bak kata Dr. Hanis, “support system” benar-benar penting.
USIM sebagai titik permulaan
Sejak menyertai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2016, Dr. Hanis melihat bagaimana universiti itu semakin membangun.
Baginya, USIM bukan sekadar tempat bekerja, tetapi platform yang dikhususkan Allah SWT untuk beliau melaksanakan misi tertentu.
Perjuangan di kota Cambridge
Perjalanan menuntut ilmu beliau turut membawanya ke United Kingdom. Di sana, cabarannya tidak sedikit, terutama dari segi kewangan. Kata beliau, mujurlah USIM sentiasa menjadi penyokong utama.
“Semasa berada di UK, nasib saya agak baik kerana USIM tetap memberi gaji dan elaun keluarga. Ini sangat membantu kerana biasiswa yang ada sahaja memang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup di kota Cambridge.
“Malah, walaupun saya tidak mendapat biasiswa KPT, USIM tetap menjaga kebajikan saya dengan memberikan elaun pakaian musim sejuk pada tahun pertama di UK serta menanggung semula bayaran yuran IELTS,” kongsinya lagi.

Dr. Hanis juga mengakui banyak kali air mata tumpah di hadapan pegawai-pegawai USIM yang membantunya.
Syukur atas sokongan diterima
Sepanjang pengajian, beliau tidak pernah keseorangan. Dari dekan, pensyarah, hingga Naib Canselor USIM sendiri, semuanya memberikan sokongan yang tidak ternilai.
Kata-kata semangat itulah yang membakar azamnya untuk menghabiskan tesis hingga ke peringkat tertinggi.
Kini, dengan izin Allah SWT, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan yang cukup membanggakan, “PhD Without Correction”.
“Semoga dengan result passed PhD Without Correction ini, Allah terus bukakan jalan untuk saya terus menabur bakti kepada USIM dan Ummah,” tambahnya.
Sumber: Hanis Hidayu/FB
The post Dr Hanis USIM Cemerlang Raih “PhD Without Correction” Dari Cambridge appeared first on Siakap Keli.


