Dr Sam belum fikir soal calon PM, fokus PN menang PRU16

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 2:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dr Sam belum fikir soal calon PM, fokus PN menang PRU16
Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar belum memikirkan soal menjadi calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya menegaskan keutamaan gabungan itu ketika ini adalah memenangi pilihan raya terlebih dahulu.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, keputusan mengenai individu yang bakal menerajui kerajaan Persekutuan sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan akan dibincangkan kepimpinan apabila tiba masanya.

Malah menurutnya, setiap pemimpin perlu bersedia menerima sebarang cabaran dan tanggungjawab sekiranya diberi peluang.

"Saya rasa daripada banyak soalan yang akan ditanya hari ini, itu soalan paling sukar untuk saya jawab.

“Namun, apabila diberikan peluang atau tanggungjawab, kita perlu menerima sebarang cabaran dan bersikap terbuka.

"Jika tiba masanya untuk anda, maka tanggungjawab itu milik anda,” katanya pada sidang media selepas Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026, pada Isnin.

Isu calon Perdana Menteri daripada PN menjadi perhatian menjelang PRU16 susulan gesaan supaya Pas, selaku tonggak utama gabungan itu, menamakan calon lebih awal.

Selain Ahmad Samsuri, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin turut disebut sebagai antara individu yang berpotensi menjadi calon Perdana Menteri daripada PN.

Dalam pada itu mengulas peluang PN pada PRU16, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas menjelaskan, tiada pihak boleh memastikan kemenangan dalam pilihan raya, sama ada parti yang membentuk kerajaan Persekutuan ketika ini mahupun PN.

Bagaimanapun beliau menegaskan, gabungan itu mempunyai sumber serta pasukan penyelidik yang meneliti angka di lapangan serta bertemu masyarakat bagi mendapatkan gambaran mengenai sokongan rakyat.

"Dalam mana-mana peperangan, bukan sekadar memenangi pertempuran, tetapi kita mahu memenangi pertempuran dan peperangan itu.

"Apa yang berlaku pada PRU15, kita memenangi pertempuran tetapi kalah dalam peperangan.

"Jadi, kita akan berusaha mengubah keadaan itu," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved