
KUALA TERENGGANU: Kerjasama strategik empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) atau SG4 perlu dimanfaatkan bagi merealisasikan potensi ekonomi wilayah berkenaan sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kemakmuran rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis mempunyai asas kukuh untuk muncul sebagai wilayah ekonomi yang berdaya saing berdasarkan jumlah penduduk, keluasan tanah serta kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki.
Katanya, amanat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 mengingatkan empat negeri itu supaya membuka potensi ekonomi masing-masing agar tidak terus ketinggalan.
“Gabungan empat negeri ini yang mempunyai kira-kira 5.7 juta penduduk perlu menggerakkan strategi pembangunan lebih menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tambah termasuk industri berasaskan unsur nadir bumi, pertanian komersial, pembuatan, industri hiliran dan perdagangan rentas sempadan.
“Malah kekayaan sumber semula jadi sahaja tidak menjamin kemakmuran sekiranya tidak disokong perancangan strategik serta usaha membangunkan industri yang mampu menghasilkan pulangan ekonomi lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.
Ahmad Samsuri berkata, unsur nadir bumi mesti melahirkan industri bernilai tambah, pertanian mesti lebih berorientasikan komersial.manakala sektor pembuatan, industri hiliran dan perdagangan rentas sempadan mesti membuka ruang pertumbuhan baharu.
Justeru, pembangunan ekonomi SG4 juga perlu memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan kerana rakyat merupakan aset terbesar yang mampu menentukan kejayaan jangka panjang wilayah berkenaan.
“Rakyat dari empat negeri ini telah membuktikan kemampuan dan kebolehan dalam bidang keusahawanan di seluruh negara, dalam masa sama ekosistem perniagaan yang kondusif perlu diwujudkan bagi membolehkan mereka mengembangkan potensi di negeri sendiri,” katanya.
Beliau berkata, prinsip kejujuran, integriti dan kerja keras juga perlu menjadi asas pembangunan ekonomi manakala amalan rasuah, kecenderungan mengambil jalan pintas dan sikap mahu memperoleh keuntungan segera perlu dijauhi kerana boleh menjejaskan kemajuan.
Sehubungan itu, katanya, SG4 memerlukan kepemimpinan yang berani, pengurusan profesional, inovasi serta komitmen berterusan untuk melaksanakan perubahan bagi memastikan setiap perancangan menghasilkan manfaat kepada rakyat.
“Pada akhirnya, kejayaan mesti diukur berdasarkan sejauh mana pertumbuhan ekonomi memperbaiki kehidupan rakyat kita. Potensinya ada, sumbernya ada dan rakyatnya ada. Kini tiba masanya untuk menukar potensi menjadi kemakmuran,” katanya. –UTUSAN
The post SG4 perlu realisasi potensi ekonomi – Ahmad Samsuri appeared first on Utusan Malaysia.






