
KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan kadar pendermaan organ terendah iaitu hanya 0.01 peratus berbanding 13 negeri lain di seluruh negara sejak 2006.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin (gambar) berkata jumlah itu terlalu rendah berbanding keperluan seramai 10,747 pesakit dalam senarai menunggu transplan organ daripada penderma yang direkodkan dalam statistik Pusat Sumber Transplan Nasional setakat Julai lepas.
“Mengikut statistik sama jumlah sebenar penderma selepas kematian bermula tahun 2006 hingga 2023 hanyalah sebanyak 43 orang dan Kelantan hanya ada tiga penderma organ dalam tempoh itu dengan pendermaan terkini dilakukan tahun ini iaitu melibatkan pendermaan hati.
“Justeru itu lebih banyak usaha promosi dan kesedaran tentang kepentingan pendermaan organ dan transplantasi perlu dilakukan oleh semua pihak termasuk agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) demi memberi satu kehidupan baharu kepada mereka yang memerlukan,“ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ (MKPO) Peringkat Negeri Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarahnya Datuk Dr Abdul Haris Muhammad.
Dr Zaini memaklumkan kurang kesedaran dan pemahaman masyarakat berhubung kepentingan pendermaan organ antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan kadar pendermaan organ rendah di negeri ini.
Katanya masyarakat juga memberi tanggapan atau persepsi yang salah berhubung pendermaan organ selain faktor agama.
“Kebanyakan waris si mati berpandangan proses perdermaan organ akan menyiksa mayat atau jenazah jadi tidak sempurna. Perkara ini sebenarnya telah difatwakan sebagai sesuatu yang dibenarkan dalam agama Islam.
“Malah kita (KKM) akan sentiasa merujuk kepada ulama dan mufti bagi semua proses yang melibatkan isu agama sebelum melaksanakan prosedur berkenaan,“ katanya.
Sementara itu, Dr Abdul Haris memberitahu terdapat dua bentuk pendermaan organ iaitu sebelum dan selepas kematian.
Katanya proses pendermaan organ selepas kematian pula terbahagi kepada dua iaitu kematian otak dan kematian jantung.
“Bagi kes kematian jantung, semua organ boleh didermakan termasuk jantung, paru-paru, hati, buah pinggang dan tisu badan, manakala bagi pesakit yang kematian otak, organ yang boleh didermakan hanya melibatkan tisu sahaja iaitu tulang, kornea dan kulit,“ katanya. -Bernama
