Dr Zaliha: RUU Produk Kawalan Merokok dibentang bacaan kali kedua 10 Okt

5 Oct 2023 • 8:37 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Selasa ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (gambar).

Beliau berkata pembentangan rang undang-undang itu susulan keputusan jemaah menteri semalam.

“Pembentangan bacaan kedua rang undang-undang ini di Parlimen adalah suatu bentuk komitmen berterusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kerajaan Malaysia MADANI dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia dilindungi daripada bahaya produk merokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata rang undang-undang itu telah dibentangkan untuk bacaan pertama pada 12 Jun lepas dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dan penilaian telah dibuat oleh ahli-ahli JKPK bagi memantapkan rang undang-undang ini supaya dapat dibincangkan, diteliti dan disokong kesemua pihak (bipartisan).

Menurutnya JKPK telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan sesi libat urus bersama semua pihak-pihak berkepentingan termasuk KKM.

Dr Zaliha berkata setelah kesemua mesyuarat dan sesi libat urus, terdapat beberapa syor yang telah dikemukakan oleh JKPK dan KKM menerima baik semua syor-syor yang dicadangkan tersebut.

Terdahulu Dr Zaliha ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Twin Towers Mobile Clinic di Prince Court Medical Centre di sini berkata nota Jemaah Menteri berhubung Dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 sudah diserahkan kepada anggota Kabinet dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Beliau berkata nota berkenaan adalah supaya anggota Kabinet menerima usul yang dibawa oleh JKPK.

Rang undang-undang itu tidak dapat diluluskan di Dewan Rakyat sebelum ini dan dirujuk kepada JKPK.

Sementara itu mengulas mengenai klinik bergerak yang dirasmikan hari ini Dr Zaliha berkata ia merupakan satu inisiatif mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.

Dalam ucapannya, beliau berkata KKM komited untuk meningkatkan kesihatan dan keselamatan tenaga kerja industri dan pelan strategik kementerian berkisar pada memastikan setiap pekerja tanpa mengira pekerjaan mereka, menikmati kesihatan dan kesejahteraan yang optimum.

“Kami (KKM) tetap berdedikasi untuk terus meningkatkan kesihatan pekerja industri kita dengan membangunkan dan melaksanakan dasar yang mengambil kira persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat,” katanya.

Menurut Twin Towers Medical Centre dalam kenyataan, Twin Towers Mobile Clinic bertujuan untuk merapatkan jurang kebolehcapaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di tapak, menyediakan penyelesaian komprehensif untuk membantu syarikat menangani kebimbangan berkaitan kesihatan dengan segera secara proaktif.

Menurut kenyataan itu, klinik bergerak berkenaan akan diuruskan oleh pasukan teras yang terdiri daripada doktor kesihatan pekerjaan, pasukan kejururawatan, jururadiografi dan pembantu tadbir serta dilengkapi dengan unit X-ray, katil pemeriksaan perubatan dan kawasan khusus untuk perundingan doktor dan ujian audiometri.

Pelbagai perkhidmatan akan ditawarkan termasuk pemeriksaan prapekerjaan, pengawasan perubatan, pemeriksaan kesihatan korporat atau pencegahan, penilaian kembali bekerja dan ujian audiometri tahunan, menurut kenyataan itu.

Sebagai permulaan, klinik bergerak akan disediakan untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan di tapak di seluruh Lembah Klang, Sepang, Shah Alam dan Klang. -Bernama