Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Fenomena drama bersiri dari Korea Selatan, Teach You A Lesson masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.
Manakan tidak, drama lakonan Kim Mu-Yeol yang mengangkat realiti sebenar sistem pendidikan khususnya berkaitan isu buli nyata menarik perhatian dan mendapat pujian ramai termasuklah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Dr Zulkifli Dapat Mesej Tentang BPHP, Sangka Ia Adalah ‘Blood Pressure’
Bukan hanya Asyraf Wajdi, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga tidak terkecuali dari mengulas drama bersiri 10 episod ini.
Kongsi Dr Zulkfli yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Threads, dia pada mulanya bertanyakan kepada pengikut apa itu Biro Perlindungan Hak Pendidikan (BPHP).
Ini kerana jelas beliau, dia sering mendapat mesej berkenaan BPHP dari individu di media sosial.
Apa yang menjadi perhatian adalah beliau pada mulanya menyangkakan istilah BPHP adalah ‘blood pressure’ (bp) iaitu tekanan darah.
“Semalam, saya luangkan sedikit masa melihat mesej-mesej yang dikirimkan kepada saya melalui media sosial. Antara yang paling banyak menarik perhatian ialah mesej berkaitan BPHP.
“Ada yang menulis, ‘Ustaz, di sekolah sekarang ramai murid yang samseng dan terlibat dengan gangster. Kerajaan kena bawa masuk BPHP untuk selesaikan.’
“Ada juga yang berkata, ‘Bawa masuk BPHP, baru aman.’
“Pada mulanya saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya maksud BPHP? Setahu saya, BP yang sering saya dengar ketika semakan kesihatan di hospital ialah ‘blood pressure’ tekanan darah,” jelasnya.
Dr Zulkifli Tertarik Dengan Mesej Drama, Bawa Mesej Tentang Kepentingan Pendidikan
Kongsi Dr Zulkifli, dia terus bertanyakan kepada beberapa staf yang masih muda tentang istilah ‘BPHP’ itu.
Jelas beliau, apa yang menarik perhatiannya tentang drama tersebut bukanlah aksi atau jalan cerita namun mesej yang dibawa.
“Apa yang lebih menarik perhatian saya bukanlah aksi atau jalan ceritanya, tetapi mesej yang dibawa.
“Apabila sesebuah drama memilih ‘pendidikan sebagai tema utama’, ia memberi isyarat bahawa kemajuan sesebuah negara bermula daripada sistem pendidikannya.
“Jika pendidikan rosak, generasi akan rosak. Sebaliknya, jika pendidikan diperkukuhkan, masa depan negara akan lebih terjamin,” katanya.
Pendidikan Tak Akan Berjaya Tanpa Guru Membimbing, Kemajuan Negara Bukan Sekadar Pada Pembangunan Fizikal
Menerusi hantaran itu juga, Dr Zulkifli turut berkongsi kata-kata dari Imam al-Syafi’I tentang pendidikan.
“Hal ini mengingatkan saya kepada kata-kata Imam al-Syafi‘i:
أخي لن تنال العلم إلا بستة… وصحبةِ أستاذٍ وطولِ زمانِ
“Wahai saudaraku, engkau tidak akan memperoleh ilmu melainkan dengan enam perkara antaranya berguru dengan seorang guru dan menempuh masa yang panjang.
“Pesanan ini menjelaskan bahawa pendidikan tidak akan berjaya tanpa guru yang membimbing dan masa yang panjang untuk membentuk ilmu, adab serta keperibadian.
“Tiada jalan pintas dalam melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak,” katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa sebuah kemajuan sebuah negara bukan hanya terletak pada pelaburan terhadap pembangunan fizikal semata-mata sebaliknya pada pendidikan.
“Jika kita benar-benar mengimpikan sebuah negara yang maju, aman dan disegani, pelaburan terbesar bukan sekadar pada pembangunan fizikal, tetapi pada pendidikan.
“Memuliakan guru, memperkukuh institusi pendidikan dan bersabar dalam membina manusia merupakan antara asas terpenting kepada kejayaan sesebuah bangsa dan negara,” terangnya.
Sebelum ini, Dr Zulkifli pernah memuji drama korea atau K-Drama yang sarat dengan mesej dan ilmu apabila berpeluang menonton K-Drama yang mengisahkan seorang peguam autism.
Malah, beliau turut memuji produksi drama berkenaan yang membuat kajian terperinci sebelum menghasilkan sesuatu karya.
Selain aktor Kim Mu-Yeol, drama Teach You A Lesson itu turut dibintangi oleh aktres Jin Ki Joo, aktor Lee Sung Min dan Pyo Ji-hoon.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: “Cerita Malaysia Sangkut Stetoskop Pon Tak Betul” – Dr Zulkifli Puji Drama Korea Penuh Mesej & Ilmu [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Senator Dikecam Selepas Dakwa Pengaruh Drama Korea Jadi Punca Remaja Bunuh Diri

