Drama! Pembangkang keluar Dewan hanya ingin tutup kekalahan – Fahmi Fadzil

LocalPolitics
28 Aug 2025 • 5:05 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat semalam disifatkan sebagai helah untuk menutup kekalahan selepas gagal dalam undian Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di peringkat bacaan kedua.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu jelas menunjukkan pembangkang cuba memutar belit keadaan seolah-olah wujud isu lain yang mendorong mereka bertindak demikian.

image is not available

“Selepas tewas, mereka cuba mengalihkan perhatian dengan alasan kononnya ada isu lain yang menyebabkan mereka keluar Dewan. Hakikatnya, mereka perlu menerima bahawa mereka kalah.
“Kerajaan kekal dengan majoriti kukuh, sedangkan pembangkang tidak cukup bilangan. Apa sahaja hujah yang mereka bawa lebih banyak bersifat retorik dan emosi, bukannya fakta,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Fahmi menegaskan, tindakan pembangkang mengaitkan isu lain selepas keputusan undi hanya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Saya kesal kerana mereka cuba mengaburi mata rakyat dengan alasan tidak berasas. Hakikatnya, kekalahan itu punca mereka keluar Dewan. Apa yang berlaku hanyalah drama mingguan Ahli Parlimen Larut dan rakan-rakannya,” katanya.

image is not available

Dalam pada itu, beliau berkata kelulusan RUU Perolehan Kerajaan di peringkat bacaan kedua membuktikan majoriti besar Ahli Parlimen menyokong dasar berkenaan sekali gus menzahirkan keyakinan terhadap usaha kerajaan memperkukuh tatakelola perolehan negara.

image is not available

Pembangkang keluar Dewan

Katanya, perkara itu turut menunjukkan hampir keseluruhan Ahli Parlimen menyokong dasar tersebut.

“Pada masa sama, saya ingin memberi sedikit respon terhadap kenyataan Ketua Pembangkang yang membangkitkan isu Peraturan Mesyuarat 80B.
“Seperti yang dijelaskan Ahli Parlimen Bangi, peraturan itu tidak bersifat wajib untuk kementerian merujuk setiap RUU kepada jawatankuasa.
“Sebaliknya, ia bergantung kepada perbincangan antara pengerusi jawatankuasa pilihan khas dengan menteri bagi menentukan keperluan,” jelasnya.

image is not available

Fahmi menambah, isu berkenaan tidak timbul dalam konteks RUU Perolehan Kerajaan kerana tiada permintaan rasmi daripada jawatankuasa untuk merujuknya.

Sumber: Utusan Online (Fitri Nizam, Fatin Norizati Mat Isa)