Deruman enjin pacuan empat roda yang berbaris dari utara hingga ke selatan negara bukan sekadar simbol konvoi, ia adalah simbol solidariti untuk memastikan penderitaan penduduk Gaza terus mendapat perhatian.
Bagi Nor Lizam Mat Saad, 53, dari Pulau Pinang, penyertaan 500 kenderaan 4x4 dalam program Drive For Gaza ini lahir daripada rasa tannggungjawab sebagai seorang Muslim.
“Inisiatif ini bukan sekadar bagus, tetapi ia adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam.
“Kita di sini hidup dalam keadaan selesa, sedangkan mereka di sana hidup dalam penderitaan,” katanya ketika ditemui Getaran, usai program di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Nor Lizam berkata, Drive For Gaza bukan membawa mesej politik atau ideologi tertentu.
Kempen itu katanya, membawa mesej keamanan, kedamaian dan kemerdekaan, iaitu tiga perkara yang amat didambakan penduduk Gaza.
“Nilai kemanusiaan kita semakin teruji apabila dunia seakan-akan memilih untuk berdiam diri.
“Kalau Allah izinkan, saya mahu pergi (ke Gaza). Dalam Islam, syahid itu bukan soal mencari kematian, tetapi soal keikhlasan berjuang di jalan kebenaran dan kemanusiaan,” katanya dengan nada tenang.
Jelas Nor Lizam, apa yang benar-benar mengusik hati adalah keadaan kanak-kanak di Gaza dan wajah-wajah kecil yang terpaksa membesar dalam konflik, tanpa diberi peluang untuk memilih.
“Bayangkan itu anak kita. Kalau mereka tak cukup makan, tak cukup perlindungan, apa perasaan kita sebagai ibu bapa,” katanya.
Bagi beliau, walau masyarakat Malaysia berdepan cabaran ekonomi dan sosial, hakikatnya negara ini masih berada dalam keadaan aman.
“Walau susah macam mana pun kita di sini, kita masih selamat. Di sana, mereka hampir tidak ada apa-apa. Sebab itu mereka lebih memerlukan pertolongan kita.” katanya.
Nada sama dikongsi Presiden Jebat Adventure Melaka, Azmi Mad Saleh, 55, yang menyifatkan penyertaan kelabnya sebagai satu kewajipan moral dan bukan sekadar simbolik sokongan.
“Kami antara kelab terawal yang menyahut seruan Drive For Gaza.
“Harapan kami agar misi ini benar-benar berjaya sampai ke Gaza seperti yang dirancang.” katanya.

Tiidak menolak hakikat bahawa membantu masyarakat tempatan adalah satu kewajipan, beliau bagaimanapun melihat realiti Palestin dari sudut yang berbeza.
“Di negara kita, ada banyak badan kebajikan, pusat zakat dan institusi yang menumpukan bantuan.
“Tetapi di Palestin, mereka hampir tiada apa-apa. Jadi apa sahaja yang mampu kita buat untuk mereka, kita bantulah.” katanya.
Beliau turut menyuarakan kesanggupan ‘turun padang’ sekiranya berpeluang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
“Saya mahu turun menyampaikan bantuan secara langsung, sebagai tanda solidariti dan tanggungjawab kemanusiaan,” katanya.
Sementara itu, Ahyar Sofiyan Masturi, 49, yang merupakan wakil daripada Sukarelawan Bencana Dan Kebajikan (DVAC) melihat Drive For Gaza sebagai satu gerakan yang perlu melibatkan masyarakat secara lebih luas.
Beliau menyeru orang ramai untuk bersama-sama turun padang menyokong inisiatif tersebut, yang dijadualkan mengadakan jelajah ke beberapa negeri termasuk Melaka, Kelantan dan beberapa lokasi lain selepas Aidilfitri tahun ini.
“Jelajah ini bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi usaha mengumpul sokongan, kesedaran dan kekuatan kolektif sebelum misi berkenaan dijangka berlepas ke Gaza dijangka pada tahun 2026,” katanya.

Dalam deruman enjin, terselit doa dan harapan. Dalam perjalanan jauh, ada niat yang lebih besar daripada destinasi.
Drive For Gaza menjadi bukti bahawa di sebalik keselesaan hidup, masih ada hati yang memilih untuk peduli dan enggan berdiam diri. - Getaran, 2 Februari 2026

