Dron Iraq serang saluran paip minyak Arab Saudi

WorldPolitics
12 Sep 2026 • 8:02 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dron Iraq serang saluran paip minyak Arab Saudi

RIYADH: Arab Saudi mengecam sekeras-kerasnya serangan dron dari Iraq yang menyasarkan saluran paip minyak Timur-Barat di kawasan Riyadh dan Madinah, menyebabkan beberapa individu cedera serta kerosakan material.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan pada Jumaat berkata, serangan itu dilakukan menggunakan ‘beberapa dron yang berasal dari Iraq’.

Bagaimanapun, Riyadh buat masa ini tidak akan mengambil tindakan balas selepas menerima permintaan Perdana Menteri Iraq supaya Baghdad diberi ruang untuk mengambil langkah sewajarnya bagi menghalang serangan yang dilancarkan dari wilayahnya.

Arab Saudi berkata, pihaknya memilih untuk tidak bertindak balas pada peringkat ini dan sebaliknya menyokong usaha kerajaan Iraq menangani ancaman berkenaan.

“Kerajaan memilih untuk tidak bertindak balas pada peringkat ini bagi memberi peluang kepada kerajaan Iraq yang bersaudara mengambil langkah yang diperlukan untuk menghalang serangan dari wilayah Iraq terhadap Kerajaan dan negara jiran,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di X.

Pada masa sama, Riyadh menegaskan pihaknya tetap mempunyai hak untuk mengambil segala langkah yang diperlukan bagi mempertahankan kedaulatan, keselamatan serta kemudahan kritikal negara itu.

Serangan berkenaan turut menyebabkan operasi saluran paip minyak Timur-Barat dihentikan sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Seorang pegawai Kementerian Tenaga Arab Saudi yang dipetik agensi berita negara, SPA, mengesahkan saluran paip itu dihentikan sementara susulan serangan berkenaan.

“Saluran paip dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga dan serangan itu menyebabkan beberapa kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Iraq menyambut baik keputusan Arab Saudi untuk menangguhkan sebarang tindakan balas dan menghargai respons Riyadh terhadap usaha Baghdad meredakan ketegangan.

Iraq turut mengecam serangan berkenaan serta menegaskan penolakannya terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan Arab Saudi atau menjejaskan hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Perkara itu dinyatakan jurucakap Panglima Angkatan Tentera Iraq, Sabah al-Numan, dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Pejabat Perdana Menteri Iraq pada awal Sabtu memaklumkan seorang komander tentera yang mengetuai operasi di wilayah Maysan telah dipecat selepas siasatan mengesahkan serangan dron terbaharu terhadap Arab Saudi dilancarkan dari sebuah lokasi di wilayah selatan itu.

Perdana Menteri Ali al-Zaidi turut mengarahkan penubuhan majlis penyiasatan bagi menyiasat peranan Komando Operasi Maysan berhubung serangan berkenaan.- AL JAZEERA

 

The post Dron Iraq serang saluran paip minyak Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved