
KYIV: Beberapa stesen minyak di Kyiv menjadi sasaran dron berkuasa jet dalam siri serangan terancang Russia, ketika serangan ke atas ibu negara Ukraine itu memasuki fasa baharu yang semakin sengit.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala 12 lagi cedera dalam serangan ke atas dua stesen minyak pada semalam, menurut Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko.
Serangan ketika waktu sibuk itu berlaku sehari selepas sebuah lagi stesen minyak di ibu negara berkenaan turut diserang pada Khamis, dalam serangan seumpama itu yang pertama dilaporkan di Kyiv.
Di stesen minyak Ukrnafta di kawasan Pochaina, utara Kyiv, saksi berkata tiga orang cedera dalam letupan pada Jumaat, termasuk pengurus sebuah pusat cucian kereta berhampiran, isterinya dan pemandu sebuah kereta yang melalui kawasan berkenaan.
Kereta itu terkandas di tepi jalan dengan cermin pecah, manakala tempat duduknya berlumuran darah akibat letupan.
Saksi berkata, mereka terdengar dua letupan sebelum pihak berkuasa tempatan kemudian mengesahkan Rusia melancarkan serangan berganda terhadap stesen minyak berkenaan.
Ketiga-tiga serangan itu menyasarkan stesen minyak kendalian Ukrnafta, syarikat milik kerajaan yang menjalankan aktiviti pengeluaran minyak dan gas asli.
Pemangku Ketua Naftogaz, syarikat induk Ukrnafta, Sergiy Fedorenko, berkata: “Tiada dan tidak mungkin ada objektif ketenteraan di sebalik serangan sedemikian. Ini adalah keganasan yang ditujukan terhadap penduduk awam dan orang awam yang tidak berdosa.”
Senarai 18 stesen minyak di Kyiv yang dijangka menjadi sasaran dron Russia mula tersebar di Telegram pada Rabu. Ketiga-tiga stesen yang diserang setakat ini terdapat dalam senarai berkenaan.
Di sebuah lagi stesen minyak yang diserang di daerah Desnianskyi yang merupakan antara kawasan paling padat penduduk di ibu negara itu, pengurus sebuah pusat cucian kereta berhampiran berkata adalah satu keajaiban tiada seorang pun terkorban dalam letupan berkenaan.
Russia meningkatkan serangan terhadap stesen minyak di Ukraine sejak beberapa bulan lalu. Kemudahan di bahagian timur dan selatan negara itu berulang kali menjadi sasaran, namun serangan minggu ini merupakan kali pertama serangan terhadap kemudahan penting dalam kehidupan harian dibawa ke ibu negara.- AGENSI
The post Stesen minyak Kyiv jadi sasaran dron Russia appeared first on Utusan Malaysia.





