Dron Kamikaze Swaterbang Telah Digunakan Untuk Membunuh Manusia Di Ukraine

WorldTechnology
11 Jun 2026 • 8:58 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dron kamikaze swaterbang telah disahkan berjaya membunuh manusia dalam satu operasi yang dilakukan di Ukraine dua tahun lalu. Ini disahkan oleh Alexander Kokhanovskyy, pembangun dron untuk tentera Ukraine dalam laporan New Scientist.

Dalam ujian yang dilakukan antara bandar Bakhmut and Chasiv Yar, 10 dron quadrotor kamikaze swaterbang digunakan dalam serangan barisan hadapan. Ia hanya diarahkan untuk terbang sekitar 10 minit sebelum mod Terminator diaktifkan. Dalam mod ini ia akan mencari sendiri sasaran untuk dimusnahkan tanpa campur tangan manusia.

Image from: Dron Kamikaze Swaterbang Telah Digunakan Untuk Membunuh Manusia Di Ukraine

Selepas misi selesai, sebuah dron dihantar untuk melihat kesan serangan. Dua anggota tentera Rusia didapati telah meninggal dunia dan sebuah trak musnah dengan ketiga-tiganya dilakukan oleh dron kamikaze. Wakil Ukraine mengatakan itu adalah satu-satunya ujian dron kamikaze yang dilakukan dengan penggunaannya tidak dikembangkan ke medan pertempuran lain.

Penggunaan dron membunuh yang melakukan serangan tanpa kawalan manusia sudah menjadi topik perdebatan kerana ia mirip filem sains fiksyen Terminator. Pada waktu ini masih tiada persetujuan antarabangsa menghalang penggunaan dron autonomi sebagai senjata pembunuh manusia. Sungguhpun begitu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, António Guterres telah mengatakan bahawa “tiada tempat untuk sistem senjata autonomi yang membawa maut di dunia”.