PUCHONG - Penggunaan dron sebagai aset sokongan ketika operasi penguatkuasaan berjaya mengesan mengenal pasti laluan dan lokasi persembunyian warga asing yang cuba meloloskan diri daripada dicekup.
Tindakan itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) semasa serbuan di kawasan perniagaan di Taman Kinrara di sini pada Khamis.
Serbuan bermula jam 12 tengah hari yang digerakkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya bertindak memeriksa 18 premis perniagaan serta 117 individu.
JIM dalam kenyataan memaklumkan, operasi dilaksanakan bagi mengesan dan menahan warga asing yang degil berada di negara ini tanpa dokumen yang sah serta melanggar syarat pas yang telah ditetapkan.
"Semasa operasi dijalankan, beberapa warga asing dilihat cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi.
"Namun, menerusi pemantauan udara menggunakan dron, pergerakan mereka berjaya dikesan dan tindakan segera telah diambil oleh pasukan operasi bagi menghalang cubaan meloloskan diri," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
**media[3562905]**
Menurut JIM, pihaknya telah menahan seramai 32 warga asing dari Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan berusia lingkungan 22 hingga 43 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, sebanyak empat Borang 29 Saman kepada warga Malaysia telah dikeluarkan untuk membantu siasatan.
"Pihak KPDN turut mengeluarkan tiga tindakan kompaun di bawah Akta Antipencatutan 2011 berjumlah RM600 kepada pemilik premis," ujarnya.
JIM memaklumkan, penggunaan teknologi dron meningkatkan keberkesanan operasi selain membantu anggota di lapangan melaksanakan tindakan dengan lebih tersusun dan selamat.
Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin," ujarnya.






