JIM Guna Dron Dalam Operasi Kesan PATI Di Puchong, 32 Warga Asing Ditahan

26 Jun 2026 • 12:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

JIM Guna Dron Dalam Operasi Kesan PATI Di Puchong, 32 Warga Asing Ditahan

JIM Guna Dron Dalam Operasi Kesan PATI Di Puchong, 32 Warga Asing Ditahan

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus memperkukuh operasi penguatkuasaan dengan memanfaatkan teknologi dron dalam operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Taman Kinrara, Puchong, tengah hari tadi.

JIM dalam satu kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, penggunaan dron dalam operasi tersebut bertujuan membantu memantau pergerakan serta mengenal pasti laluan dan lokasi persembunyian warga asing yang cuba mengelak daripada dikesan.

Menurut JIM, teknologi itu bukan sahaja meningkatkan keberkesanan operasi, malah memudahkan anggota penguat kuasa di lapangan menjalankan tindakan secara lebih tersusun dan selamat.

Katanya, operasi yang bermula sekitar jam 12 tengah hari itu membabitkan seramai 46 pegawai penguat kuasa JIM bersama tujuh pegawai KPDN Putrajaya.

Baca juga:

“Pemeriksaan dijalankan di sebuah kawasan perniagaan di Taman Kinrara bagi mengesan warga asing yang masih berada di negara ini tanpa dokumen sah atau melanggar syarat pas yang ditetapkan,” katanya.

Menurut JIM, beberapa warga asing dilihat cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi.

Bagaimanapun katanya, hasil pemantauan udara menggunakan dron, pergerakan mereka berjaya dikesan sebelum tindakan pantas diambil bagi menghalang cubaan meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan terhadap 18 premis perniagaan dan 117 individu, seramai 32 warga asing berjaya ditahan,” katanya.

Jelas JIM, kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan berusia antara 22 hingga 43 tahun.

Mereka dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam operasi sama, JIM turut mengeluarkan empat Borang 29 saman kepada warganegara tempatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, KPDN pula mengeluarkan tiga kompaun di bawah Akta Antipencatutan 2011 berjumlah RM600 terhadap pemilik premis.

Kesemua warga asing yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan dan siasatan lanjut.

JIM berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan pas di negara ini.

Ujarnya, tindakan tegas juga akan diambil terhadap majikan atau individu yang didapati menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved