hamden06/10/2026 - 12:38 Dron ANKA-S milik Tentera Udara Diraja Malaysia.- Gambar/ Instagram TUDM Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt - Dron ANKA-S milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditempatkan di Labuan telah merekodkan 232.7 jam penerbangan sehingga 22 September 2026, termasuk penerbangan ujian, latihan dan pembangunan kompetensi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu turut merangkumi aktiviti penyelenggaraan serta ujian sistem darat bagi memastikan keupayaan operasi aset berkenaan.
Bagaimanapun, kementerian tidak mendedahkan tahap liputan pengawasan atau ukuran keberkesanan dron itu atas faktor keselamatan dan sensitiviti operasi.
"Maklumat mengenai keluasan liputan pengawasan dan ukuran keberkesanannya tidak dapat didedahkan kerana ia melibatkan maklumat operasi sensitif serta keupayaan pertahanan negara," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat).
Onn sebelum ini bertanyakan mengenai jumlah jam penerbangan dron berkenaan serta sejauh mana keberkesanannya dalam meningkatkan kesedaran domain maritim di Laut China Selatan dan perairan Sabah.
Menurut kementerian, Sistem Pesawat Tanpa Pemandu Medium-Altitude Long Endurance (MALE UAS) ANKA-S yang dikendalikan di Pangkalan Udara Labuan merupakan aset penting dalam memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR) dan Maritime Domain Awareness (MDA) negara, selaras dengan hala tuju Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Pembangunan Keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia 2055 (CAP55)
ANKA-S merupakan dron beraltitud sederhana dengan ketahanan penerbangan yang tinggi dan mampu menjalankan misi pengawasan hampir 24 jam, siang dan malam, dalam pelbagai keadaan cuaca.
Dengan keupayaan ini, ANKA-S menyokong ISR dan MDA melalui pengumpulan maklumat secara berterusan bagi mengesan, mengenal pasti dan menjejaki aktiviti maritim.
Malaysia membeli tiga unit ANKA-S bernilai RM423.8 juta dan merancang memperoleh tiga unit tambahan dalam fasa kedua. - DagangNews.com




