Verstappen terpantas FP1 GP Bahrain di Sepang

3 Oct 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Verstappen terpantas FP1 GP Bahrain di Sepang

SEPANG: Juara dunia empat kali, Max Verstappen mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas pertama (FP1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Pemandu Red Bull Racing itu mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 37.520 saat (s) untuk kekal di kedudukan pendahulu selama satu jam.

Sementara itu, pemandu Mercedes AMG Petronas, George Russell melakar masa kedua terpantas (1:37.903s), manakala rakan sepasukan Verstappen, Isack Hadjar melengkapkan aksinya dalam kelompok tiga terbaik (1:38.303s).

Dua pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton, masing-masing berada di tangga keempat (1:38.367s) serta keenam (1:38.590s), manakala seorang lagi pemandu Mercedes, Kimi Antonelli yang juga pendahulu kejuaraan musim ini menghuni tempat kelima (1:38.580s).

Selepas SIC tidak menganjurkan perlumbaan Formula 1 (F1) sejak 2017, sesi latihan pertama, semalam, menjadi peluang penting buat sebahagian besar pelumba untuk kembali membiasakan diri dengan litar berkenaan.

Malah, terdapat beberapa pelumba dalam saingan musim ini belum pernah merasai pengalaman memandu di litar ikonik tersebut, sekali gus menjadikan sesi pertama itu cukup penting untuk mereka memahami karakter serta keadaan trek.

Bagi Russell, perlumbaan hujung minggu ini di Sepang menjadi peluang terbaiknya mempamerkan peningkatan prestasi dengan pakej naik taraf yang dibekalkan buat pelumba berusia 28 tahun itu.

“Saya amat berharap dengan naik taraf ini akan dapat memberi impak positif kepada prestasi jentera W17 bagi mencabar gelaran dunia.

“Sebelum ini, saya sering berasa kurang yakin dengan kemampuan diri sendiri, tetapi sekarang keyakinan saya semakin melonjak naik. Walaupun jurang cukup besar dengan pendahulu kejuaraan, tetapi saingan masih panjang, apa sahaja boleh berlaku,” ujarnya.

Russel yang berasal dari Great Britain kini berada di kedudukan kedua dalam senarai keseluruhan pemandu F1 dengan kutipan 236 mata, manakala, Antonelli unggul di tangga teratas setelah mengumpul 302 mata selepas 15 perlumbaan. – UTUSAN

The post Verstappen terpantas FP1 GP Bahrain di Sepang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved