Dua anak mangsa lemas Sungai Pahang terima bantuan MARA

22 Aug 2026 • 9:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua anak mangsa lemas Sungai Pahang terima bantuan MARA
Tangkap layar video yang dikongsi Asyraf Wajdi ketika beliau menghubungi anak mangsa melalui panggilan video pada Jumaat.

KUANTAN- Nasib dua anak Allahyarham Muhamed Hanifa Mammu, 47, yang ditemukan lemas di Sungai Pahang mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Nurul Izni Zafirah,17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan adiknya, Muhamad Aif Izzuddin, 13, pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mersing yang baru kehilangan ibu akibat kanser pada Mei lalu kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa bapa susulan tragedi itu.

Melalui hantaran di Facebooknya, Asyraf Wajdi memaklumkan, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan mengambil Nurul Izni Zafirah, sebagai anak angkat dan membantu kos pembelajarannya sehingga tamat pengajian.

Katanya, Muhamad Aif Izzuddin yang sedang menuntut di MRSM Mersing akan menerima Bantuan BUDI bagi membantu keperluan persekolahannya.

"Saya sempat menghubungi bertanya khabar dan berbual dengan anak-anak Allahyarham melalui panggilan video. Walaupun jelas terasa kesedihan mereka, saya pesan supaya terus kuat dan jangan sesekali berputus asa dalam mengejar cita-cita terutama dalam ilmu pelajaran.

"Kehilangan ibu dan bapa pada usia yang masih muda bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui justeru MARA akan memastikan dua beradik ini akan dibantu sehingga mereka berjaya tamat pengajiannya," ujarnya.

Allahyarham Muhamed Hanifa dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ketika memancing di Sungai Pahang dekat Kampung Lebak Seberang,Temerloh pada Rabu lalu.

Mayatnya ditemui kira-kira jam 7.05 pagi, Jumaat selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Melalui hantarannya itu, Asyraf Wajdi berharap dengan bantuan dihulurkan itu dapat meringankan beban dan memberi ruang kepada anak-anak Allahyarham untuk terus melangkah mengejar masa depan.

"Kita doakan Allahyarham Muhamed Hanifa ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan ketabahan buat anak-anak dan seluruh keluarga yang ditinggalkan," doanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved