KLANG - Polis giat memburu kumpulan geng terbabit cubaan samun kedai emas di Jalan Tengku Kelana, di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi.
"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan semasa cubaan samun berkumpulan.
"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu menunjukkan senjata api semasa cubaan melakukan samun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohamad Sulaimi Alawi @ Shaari di talian 014-5719405, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai berdekatan.
Sebelum itu tular rakaman video kes terbabit memaparkan dua lelaki bertopi keledar cuba memecahkan rak kaca barang kemas dipercayai menggunakan penukul.
Selain itu, dua lelaki lagi menunggu di luar premis menaiki motosikal.
Tidak beberapa lama kemudian empat lelaki terbabit terus beredar dari lokasi terbabit.






