
TUMPAT: Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang membawa enam pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warga Myanmar dalam kejadian di Kampung Chat, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, anggota berpangkat Lans Koperal dikenali sebagai Amir, 34, nyaris digilis apabila kereta terbabit mengundur dengan lajut selepas ditahan.
Amir berkata semasa kejadian dia bersama rakannya, Zaidi, 29, sedang melakukan rondaan rutin sebelum terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, kedua-dua mereka bertindak menahan kereta tersebut untuk melakukan pemeriksaan selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Pemandu kereta tersebut membuka pintu dan kemudian bertindak mengundurkan kereta dengan laju. Saya sempat berpaut pada stereng kereta manakala Zaidi yang berada di sebelah rebah selepas terkena pintu,” katanya kepada pemberita di Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.
Amir memberitahu, dia kemudian bergelut dengan pemandu kereta itu dan bertindak mencabut kunci kereta berkenaan.
Katanya, tindakan pantas itu membawa kepada penahanan suspek dan enam perempuan PATI warga Myanmar berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Kejadian itu menyebabkan Zaidi mengalami kecederaan di kepala dan menerima dua jahitan selain luka di lengan manakala saya cedera di lutut.
“Siasatan awal mendapati suspek yang bertindak sebagai tekong darat mempunyai 15 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah, jenayah termasuk rogol serta keganasan rumah tangga,” ujarnya.
Amir berkata, semakan mendapati suspek baharu lima hari dibebaskan dari penjara dan hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah. – UTUSAN
The post Dua anggota PGA cedera dilanggar kereta bawa enam PATI appeared first on Utusan Malaysia.




