
KLANG – Sebuah bengkel melerai dan menjual komponen kenderaan yang sebelum ini dikaitkan dengan sindiket didalangi warga Pakistan terbakar dalam kejadian di Kampung Bukit Kapar, malam tadi.
Kebakaran itu melibatkan kawasan terbuka berkeluasan 1,200 kaki persegi dengan enam buah kereta musnah hampir 90 peratus.
Menurut hantaran di Facebook Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Kapar, seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan terlibat dalam operasi pemadaman berkenaan.
“Antara kenderaan yang musnah adalah tiga buah jenis BMW, Proton Wira (2) dan masing-masing sebuah bagi jenis Proton Saga Kia Spectra dan Toyota Avanza.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya.
Dalam operasi itu, anggota bomba terpaksa memotong kunci pagar selepas bengkel berkenaan disita pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebelum ini.
BBP Kapar turut memaklumkan pihaknya bertindak melakukan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan pancutan air dari tangki pam jentera, diisi semula secara ulang-alik dari pili bomba berhampiran.
“Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya selepas operasi berterusan,” jelasnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan sebuah van jenazah dipercayai curi di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Bukit Kapar, kira-kira pukul 7.20 malam, 7 Ogos lalu.
Malah, seramai 20 warga asing merangkumi 17 lelaki warga Pakistan serta dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen di Jalan Kapar pada pukul 4.30 petang, 12 Ogos lalu.
Serbuan itu membongkar sindiket melerai dan menjual kenderaan curi termasuk melibatkan kes kehilangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik sebuah syarikat pengurusan jenazah.
Lebih mengejutkan, penahanan warga Indonesia dalam serbuan itu turut membongkar keterlibatan sindiket ini dalam pengurusan penyediaan ‘rumah penampungan’ bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal. – KOSMO! ONLINE
The post Bengkel disyaki sindiket lerai, jual komponen kenderaan terbakar appeared first on Kosmo Digital.






