SEREMBAN - Seorang bapa mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun.
Tertuduh berusia 47 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, N Kanageswari selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal, antaranya memegang payudara dan mencengkam pinggang mangsa yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengannya.
Perbuatan terbabit dilakukan pada bulan Julai 2024 dan 21 Februari 2026 di bilik tidur sebuah rumah di Port Dickson.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(A) dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama
Jika disabit bersalah bagi Seksyen 14(A), boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebat serta hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih tiga tahun.
Bagi Seksyen 16(1), boleh dipenjara maksimum lima tahun dan tidak kurang daripada dua sebatan.
Selain itu, seorang lagi lelaki turut mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan mencederakan bahagian tangan dua anak kandungnya menggunakan pisau pemotong ayam pada 6 April lalu.
Tertuduh, L Gunasekaran, 46, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap anak lelaki berusia 14 tahun dan anak perempuan berusia 16 tahun pada jam lebih kurang 5 petang di Rumah Pangsa Lobak di sini.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 362A Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 324, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 362A, boleh dipenjara dua kali ganda di bawah mana-mana seksyen yang releven.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 April depan untuk pembentangan fakta kes dan hukuman bagi kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
