
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 165 tahun serta 210 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu, Sabah selepas mengaku bersalah merogol dua anak kandungnya dalam tempoh lebih sedekad.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suhaila Selag, menjatuhkan hukuman tersebut semalam, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap 11 pertuduhan berasingan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berturut-turut, sekali gus bermakna tertuduh perlu menjalani baki hayatnya di dalam penjara.
Selain itu, tertuduh turut dikenakan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Kes tersebut terbongkar pada 22 Mac lalu apabila kedua-dua mangsa, masing-masing kini berusia 25 dan 22 tahun, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
Siasatan lanjut mendapati perbuatan tersebut telah berlaku sejak mangsa berusia 15 dan 18 tahun, melibatkan beberapa lokasi di sekitar Lahad Datu dan Tawau.
Menurut laporan Daily Express, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau mengesahkan kejadian itu serta memaklumkan, kedua-dua mangsa mengalami penderaan berpanjangan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipaksa melakukan perbuatan seksual melalui ugutan keganasan fizikal sekiranya mereka enggan menurut perintah tertuduh.
“Tertuduh menggunakan ancaman kekerasan bagi memastikan mangsa terus menurut kehendaknya sepanjang tempoh penderaan,” katanya.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dengan lima pertuduhan melibatkan anak sulungnya dan enam lagi membabitkan anak bongsunya.
Pihak berkuasa memaklumkan, satu lagi pertuduhan melibatkan seorang mangsa wanita ketiga turut dibicarakan dalam prosiding yang sama.
Di bawah peruntukan undang-undang semasa, setiap sabitan bagi kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 30 tahun serta 10 sebatan.
Tegas Jimmy, kes berkenaan merupakan jenayah serius, memandangkan mangsa telah didera sejak remaja dan dipaksa melakukan perbuatan tersebut di bawah ancaman keganasan. - Getaran, 9 April 2026

