Dua bekas raja pecut Sukan SEA lolos ke final

12 May 2023 • 11:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khairul Hafiz

DUA bekas raja pecut Sukan SEA, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan berjaya melayakkan diri ke saingan akhir 100 meter (m) lelaki edisi 2023 di sini, pada Jumaat.

Pada aksi saringan di Stadium Nasional Morodok Techo, Muhammad Haiqal Hanafi yang memenangi emas edisi 2019 di Manila, Filipina, muncul pelari terpantas bagi saringan pertama acara riben biru itu dengan catatan 10.47 saat (s).

Juara edisi 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz pula unggul menguasai saringan kedua dengan menduduki tempat pertama menerusi catatan 10.37s.

Bagi kategori wanita, dua pelari pecut kebangsaan iaitu pemenang perak edisi 2017, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nur Aishah Rofina Aling turut menempah tiket final dijadual berlangsung petang ini.

Zaidatul Husniah menduduki tempat ketiga dengan catatan 11.69s pada saringan pertama manakala Nur Aishah Rofina, yang membuat penampilan pertama pada temasya sukan dwitahunan itu, merekodkan masa 12.04s, juga di tempat ketiga dalam saringan kedua. - Bernama