Dua Beradik Antara Ditahan, Serbuan Jenayah Dadah Terbesar Di Perak Bernilai RM6.7 Juta

29 Aug 2022 • 11:52 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

IPOH, 29 Ogos (Bernama) — Dua beradik dan tiga rakan ditahan dalam satu serbuan jenayah dadah terbesar di negeri ini melibatkan nilai rampasan berjumlah RM6.7 juta di sebuah bangsal di Chenderiang, Tapah pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam serbuan kira-kira 9.45 pagi itu, anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tapah menahan kesemua lelaki berumur 29 hingga 33 tahun yang sedang memproses dadah methamphetamine.

“Hasil serbuan telah berjaya merampas sejumlah dadah tersebut dengan anggaran berat kira-kira 110 kilogram bernilai RM6.6 juta selain merampas bahan-bahan kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Turut disita dua kenderaan, empat utas rantai leher, loket, cincin dan subang yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM161,000. Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak Jun dan dadah dirampas boleh digunakan untuk seramai kira-kira sejuta penagih dadah,” katanya dalam sidang media di IPK Perak hari ini.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah selain semakan mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan pecah rumah berkumpulan.

Menurutnya, kesemua suspek yang juga penganggur ini, direman tujuh hari sehingga 2 Sept ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Bernama