SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Dua beradik diberkas kerana disyaki sedang mencuri kabel di lokasi kira-kira 80 meter dari Jam Besar Sungai Petani pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dua beradik lelaki berusia 42 dan 44 tahun itu ditahan ketika berada dalam lubang 'manhole' di laluan utama pusat bandar tersebut kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, perbuatan itu disedari sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda ketika membuat rondaan sekitar lokasi tumpuan ramai berkenaan.
"Ketika rondaan dibuat, kita nampak lubang manhole terbuka dan pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki berada dalam lubang terbabit disyaki mahu memotong dan mencuri kabel.
"Siasatan lanjut mendapati mereka adalah adik-beradik, telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, polis turut menjumpai lima peralatan disyaki digunakan untuk memotong kabel.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah.
Beliau berkata, ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.
Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

