Dua Beradik Lemas: Bapa Didakwa Sebabkan Kematian, Mengaku Tidak Bersalah

LocalPolitics
12 Sep 2025 • 3:03 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang bapa kepada dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Linggi, Port Dickson, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kematian.

Bapa merayu ingin ziarah kubur anak-anak

Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh, Abdul Raham Mahmud, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abdul Rahman didakwa melakukan kesalahan kira-kira jam 11.45 pagi 4 September lalu di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas, Port Dickson.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa memohon tarikh sebutan semula kes kerana laporan forensik, kimia dan Puspakom masih belum diperoleh.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Beliau juga memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin kerana bimbang tertuduh melarikan diri.

Bagaimanapun, Abdul Rahman yang tidak diwakili peguam, merayu dibenarkan jaminan kerana ingin menziarahi kubur anak-anaknya, namun permohonan itu ditolak.

Hakim menetapkan 10 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen serta memberi masa kepada tertuduh melantik peguam.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Terdahulu, media malaporkan dua beradik berusia enam dan lapan tahun lemas selepas kereta yang diparkir di tebing Sungai Linggi menggelongsor ke dalam sungai.

Ketika kejadian, enjin kereta dimatikan manakala bapa mangsa keluar sebentar untuk merokok.

Sumber: Berita Harian (Norafiza Jaafar)