Tragedi lemas yang meragut nyawa dua beradik di Sungai Jeram Hulu, Kuala Terengganu pada petang Selasa turut menyentuh hati ramai apabila ibu kandung mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) lembam masih belum memahami bahawa kedua-dua anaknya telah meninggal dunia.

Foto: Sinar Harian
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya Nur Shahila Shahirah Azman, 12, dilaporkan tinggal bersama nenek sejak kecil selepas ibu mereka Suria Sulong, 34, berpisah dengan suami.

Foto: Bernama
Nenek mangsa, Esah Salleh, 76, berkata, Suria yang juga ibu tunggal tidak menyedari sepenuhnya kejadian menimpa anak-anaknya disebabkan keadaan dirinya.
“Mak mereka tak tahu anak-anak dia dah meninggal. Suria OKU lembam dan anaknya (mangsa umur 15 tahun) juga mewarisi keadaan yang sama, tapi adiknya normal.
“Mereka berdua ni memang tinggal bersama saya di Kampung Jeram sejak kecil lagi selepas Suria berpisah dengan suaminya,” katanya.

Foto: Bernama
Menurut Esah, sebelum kejadian kedua-dua cucunya keluar dari rumah untuk pergi ke rumah rakan sebelum dia dimaklumkan orang ramai mengenai insiden lemas itu.
“Saya sangat terkejut apabila diberitahu cucu lemas di sungai. Kehilangan mereka amat dirasai kerana saya yang menjaga mereka dari kecil dan kami sangat rapat,” ujarnya.
Dalam kejadian itu, mayat dua beradik terbabit ditemukan pasukan penyelamat berhampiran lokasi mereka dilaporkan hilang.

Foto: Bernama
Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemui kedua-dua mangsa pada kedalaman kira-kira empat meter dan sekitar 20 meter dari lokasi kejadian.
Jenazah mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian (Norhaspida Yatim)
The post Dua Beradik Lemas: Ibu OKU Lembam Belum Sedar Anak Sudah Tiada appeared first on Borak Daily.
