KUALA TERENGGANU - Tragedi menyayat hati yang menimpa dua beradik di Sungai Jeram Hulu di sini pada petang Selasa menyimpan kisah pilu apabila ibu kandung mereka yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) lembam masih belum menyedari kehilangan kedua-dua anaknya itu.
Ibu mangsa, Suria Sulong, 34, yang juga merupakan seorang ibu tunggal tidak mengetahui bahawa Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12, telah meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Nenek mangsa, Esah Salleh, 76, berkata, Suria tidak memahami sepenuhnya situasi yang berlaku disebabkan keadaan dirinya, malah salah seorang mangsa iaitu cucu sulungnya yang berusia 15 tahun itu juga merupakan OKU lembam.
"Mak mereka tak tahu anak-anak dia dah meninggal. Suria OKU lembam dan anaknya (mangsa umur 15 tahun) juga mewarisi keadaan yang sama, tapi adiknya normal.
"Mereka berdua ni memang tinggal bersama saya di Kampung Jeram sejak kecil lagi selepas Suria berpisah dengan suaminya," katanya ketika ditemui di sini.
**media[3518735]**
Menceritakan detik sebelum kejadian, Esah berkata, dia hanya dimaklumkan oleh orang ramai mengenai tragedi tersebut selepas kedua-dua cucunya keluar dari rumah untuk ke rumah rakan mereka.
"Saya sangat terkejut apabila diberitahu cucu lemas di sungai. Kehilangan mereka amat dirasai kerana saya yang menjaga mereka dari kecil dan kami sangat rapat," katanya.
Jenazah kedua-dua beradik itu telah dibawa ke Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mayat dua beradik itu ditemui berada berdekatan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada kedalaman empat meter dan kedudukan 20 meter dari lokasi kejadian.





