IPOH - Dua beradik yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah gerai nasi bajet di Jalan Lebuh Meru Raya di sini akhirnya berjaya diberkas selepas lebih tiga minggu diburu polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 36 tahun itu ditahan di Teluk Intan pada 8 Jun lalu bagi membantu siasatan.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian yang tular itu selain turut dikaitkan dengan beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah Ipoh.
"Kedua-dua suspek telah direman sehingga 12 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
"Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari, 21 Mei lalu, dua suspek yang menunggang motosikal dan menyamar sebagai pelanggan melarikan sebuah peti wang mengandungi wang tunai RM300 serta sebuah telefon bimbit jenis iPhone 13 milik peniaga gerai, Nor Atheerah Nadzirah Mior Ikram Shah, 21.
Kejadian itu mendapat perhatian selepas tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 25 saat yang dirakam Nor Atheerah ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok.






