Dua beranak di Pasir Mas kongsi penderitaan

LocalHealth & Fitness
28 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dua beranak di Pasir Mas kongsi penderitaan

PASIR MAS – Belum pulih daripada penyakit kencing manis kronik dan tiroid, seorang bapa kini terpaksa menanggung ­kesedihan melihat anak sulungnya yang menderita penyakit radang usus sehingga memerlukan rawatan susulan dan susu khas sejak tiga bulan lalu.

Mohamad Nor Faizal Ismail, 43, yang sudah empat tahun menghidap penyakit itu turut buntu memikirkan cara untuk menyara keluarga apabila tidak lagi mampu bekerja, manakala anaknya, Muhammad Adam Danish, 16, juga tidak ke sekolah.

Menurut Mohamad Nor Faizal, keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga berat badan turun sebanyak 25 kilogram, selain kedua-dua matanya mengalami masalah penglihatan.

Katanya, dia kini hanya bergantung kepada pendapatan isterinya yang bekerja sementara sebagai tukang cuci di stesen kereta api di Pasir Mas, selain bantuan orang ramai untuk meneruskan kehidupan.

“Saya sudah empat tahun tidak boleh bekerja akibat ken­cing manis kronik dan tiroid. Kedua-dua mata saya juga semakin kabur.

“Sekarang saya hanya terlantar dan mengharapkan pendapatan isteri serta sumbangan orang ramai untuk menampung keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Slow Machang di sini kelmarin.

Menurut beliau, ujian keluarganya bertambah berat apabila Muhammad Adam Danish ­disahkan menghidap penyakit usus sejak Julai lalu sebelum menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, baru-baru ini.

Katanya, anak sulung daripada dua beradik itu juga memerlukan rawatan susulan di hospital dan tidak dapat ke sekolah kerana keadaan kesihatannya.

“Muhammad Adam Danish tidak boleh makan nasi dan perlu bergantung pada susu khas berharga RM68 setin yang hanya mampu bertahan empat hari.

“Saya buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membeli susu anak. Saya sendiri tidak mampu bekerja dan pendapatan isteri hanya cukup untuk membeli barang keperluan asas.

“Dengan keadaan itu, kami terpaksa berjimat cermat kerana setiap bulan perbelanjaan keluarga mencecah RM2,000,” ujarnya.

Mohamad Nor Faizal berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan yang diterima masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarga, termasuk kos makanan dan penjagaan anaknya.

Menurutnya, mereka turut berdepan tunggakan bayaran rumah mesra rakyat hampir setahun, selain bil elektrik berjumlah RM500 dan bayaran ansuran motosikal dan mesin penapis air.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh meng­hubungi Mohamad Nor Faizal di talian 011-1224 9285 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0310 2410 0003 4601. – KOSMO! ONLINE

The post Dua beranak di Pasir Mas kongsi penderitaan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved