Dua cabaran awal menanti kepimpinan baharu FAM

LocalFootball
18 Sep 2026 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua cabaran awal menanti kepimpinan baharu FAM
Zainal menyifatkan laporan penuh AFC dan keputusan CAS merupakan dua cabaran awal yang perlu ditangani dengan teliti oleh kepimpinan baharu FAM.

BARISAN kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus berdepan tugas berat apabila beberapa isu penting yang masih belum selesai perlu ditangani dalam tempoh dua setengah tahun yang berbaki.

Antaranya termasuk menanti laporan penuh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung isu pemain naturalisasi yang pastinya menjadi antara perkara utama untuk diberikan perhatian.

Situasi itu turut menjadi lebih mencabar apabila jumlah anggota jawatankuasa eksekutif (Exco) FAM dikecilkan, sekali gus menyebabkan tanggungjawab yang perlu dipikul setiap ahli menjadi lebih besar.

Exco Profesional FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui kepimpinan baharu perlu berdepan tugas yang berat, namun ia perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen demi memperbaiki bola sepak negara.

“Bukan saya ingin mengatakan ia sukar tetapi ia lebih mencabar kerana jawatan Exco dikecilkan. Ada lagi benda-benda yang kita perlu lalui dan perlu memperbetulkan.

“Saya rasa kali ini memang satu tugasan yang amat-amat penting untuk bola sepak Malaysia, amat-amat berat untuk kami,” katanya.

Zainal berjaya mempertahankan jawatan Exco Profesional pada Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 pada Khamis selepas memperoleh 22 undi, mengatasi Azlan Johar yang meraih tiga undi.

Menurutnya, sokongan semua pihak amat diperlukan bagi membantu kepimpinan baharu melaksanakan tanggungjawab dan melakukan penambahbaikan yang diperlukan.

Tempoh berbaki kira-kira dua tahun setengah bagi penggal 2025-2029 juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan segala perancangan dapat direalisasikan.

“Bagi saya, Insya-ALLAH. Bukan kata cukup, kita kena cukupkan,” katanya ketika ditanya sama ada tempoh berkenaan mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan dalam FAM.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved