AirAsia jual enam pesawat A321neo baharu ketika berdepan kekangan tunai — Bloomberg

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 10:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia jual enam pesawat A321neo baharu ketika berdepan kekangan tunai — Bloomberg Image from: AirAsia jual enam pesawat A321neo baharu ketika berdepan kekangan tunai — Bloomberg johardy18/09/2026 - 10:03

KUALA LUMPUR 18 Sept - AirAsia Group Berhad menjual enam pesawat yang baru diterimanya sejak awal tahun lalu, termasuk dua pada Julai, dalam langkah luar biasa yang mencerminkan tekanan kewangan dihadapi syarikat penerbangan itu.

 

Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia itu menerima 10 pesawat Airbus A321neo serba baharu sejak awal 2025, namun menjual enam daripadanya kepada syarikat pemberi pajak BBAM LLC, menurut analisis Bloomberg News berdasarkan urus niaga pesawat yang dijejaki dalam pangkalan data Cirium Fleet Analyzer.

 

Data berkenaan menunjukkan pesawat tersebut kemudiannya dibeli atau dipajak oleh syarikat penerbangan baharu Vietnam, Sun PhuQuoc Airways.

 

 

 

 

 

 

Walaupun syarikat penerbangan lazimnya menjalankan urus niaga jual dan pajak semula bagi pesawat baharu untuk menggantikan kos pembelian pendahuluan yang besar dengan bayaran pajakan berkala, tindakan menjual pesawat tanpa pernah menggunakannya dalam operasi adalah sesuatu yang jarang berlaku.

 

Pelupusan pesawat cekap bahan api generasi baharu itu dibuat ketika pengasas bersama AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berusaha memodenkan armadanya bagi menangani peningkatan kos bahan api.

 

“Adalah luar biasa apabila pesawat yang baru diterima dan sudah menggunakan warna korporat AirAsia tidak pernah memasuki perkhidmatan, sebaliknya hanya ‘dijual’ tanpa ‘dipajak semula’,” kata penganalisis bebas pasaran modal penerbangan, Andrew Light.

 

“Menjual pesawat yang baru diterima mungkin merupakan pilihan paling mudah, khususnya untuk memaksimumkan tunai.”

 

Harga bahan api melonjak, tekanan kewangan meningkat

AirAsia dan barisan pengurusannya tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan berulang kali untuk mendapatkan komen.

 

BBAM, Sun PhuQuoc Airways dan syarikat induknya, Sun Group, juga tidak menjawab permintaan untuk memberikan maklum balas.

 

Masalah dihadapi syarikat penerbangan itu semakin meruncing tahun ini susulan tercetusnya perang di Asia Barat yang menyebabkan harga minyak dan bahan api pesawat melonjak.

 

Syarikat penerbangan tambang rendah lazimnya menerima kesan lebih besar berbanding syarikat penerbangan perkhidmatan penuh apabila harga bahan api meningkat kerana lebih sukar untuk memindahkan kenaikan kos itu kepada penumpang yang sensitif terhadap harga.

 

AirAsia tidak melindung nilai pembelian bahan apinya, sekali gus menyebabkan syarikat itu terdedah kepada turun naik harga yang ketara.

 

Perbelanjaan bahan api melonjak 58% pada suku kedua, sehingga menyebabkan syarikat itu mencatatkan kerugian suku tahunan terbesar dalam tempoh empat tahun.

 

Bloomberg melaporkan minggu ini bahawa AirAsia sedang berusaha menggunakan cagaran bagi pinjaman kredit swasta untuk membuat pembayaran kepada syarikat pemberi pajak.

 

Pada Jun lalu, Bloomberg melaporkan syarikat penerbangan itu ketinggalan dalam pembayaran kepada pembekal dan meminta penangguhan pembayaran bagi sekurang-kurangnya 12 pesawat.

 

Baki tunai antara terendah dalam industri penerbangan

AirAsia mempunyai tunai dan kesetaraan tunai berjumlah RM954 juta pada akhir Jun, antara baki paling rendah dalam kalangan syarikat penerbangan global yang dijejaki Bloomberg.

 

Harga sahamnya merosot hampir 75% sejak perang Iran bermula pada akhir Februari, menjadikannya saham berprestasi paling buruk dalam Indeks Bloomberg World Airlines yang merangkumi 58 syarikat penerbangan.

 

Daripada keseluruhan 239 pesawat Airbus dalam armada AirAsia pada akhir Jun, hanya 161 pesawat beroperasi, menurut syarikat itu.

 

AirAsia berkata, ia memulangkan 25 pesawat lama tahun ini bagi mengoptimumkan armadanya. Bagaimanapun, syarikat itu tidak pernah menyatakan bahawa ia turut melupuskan pesawat serba baharu.

 

Pangkalan data Cirium menunjukkan Sun PhuQuoc Airways mengembangkan armadanya kepada 19 pesawat sejak memulakan operasi pada November 2025.

 

 

 

 

 

 

Sebanyak 14 pesawat yang dibeli atau dipajak syarikat penerbangan Vietnam itu diperoleh secara langsung daripada AirAsia.

 

Rekod Cirium tidak merangkumi pesawat paling terkini yang diterima AirAsia pada Julai. Pesawat itu masih berada dalam pegangan syarikat berkenaan tetapi dijadualkan dipindahkan kepada Sun PhuQuoc Airways pada Oktober. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved