Dua cedera, SUV jatuh gaung 60 meter di Cameron Highlands

24 Feb 2026 • 3:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba dari BBP Cameron Highlands membantu menyelamatkan mangsa SUV jatuh gaung di Cameron Highlands pada Isnin.

KUANTAN [DIKEMAS KINI] - Dua cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 60 meter  berhampiran Boh Tea Centre, Cameron Highlands, pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan dilaporkan jam 3.50 petang itu melibatkan SUV jenis Haval  dinaiki lima penumpang termasuk pemandu.

Menurutnya,  dua daripadanya terdiri seorang lelaki dan seorang wanita dewasa mengalami kecederaan.

"Susulan panggilan kecemasan berhubung kejadian, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat  (BBP) Cameron Highlands ke lokasi kira-kira 12 kilometer dari balai untuk bantuan menyelamat.

"Operasi menyelamat segera digerakkan untuk membawa mangsa naik ke tempat selamat menggunakan alat pengusung,"katanya.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan sebelum  diserahkan kepada pihak kesihatan  untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli mengesahkan berhubung kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit  terbabas ke dalam gaung dipercayai akibat kegagalan brek.