Dua dipenjara kerana seludup petrol

LocalPolitics
20 Aug 2025 • 3:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Dua pendatang asing tanpa izin masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana memiliki 325 liter barang kawalan iaitu petrol tanpa lesen.

Jamal Risal, 37, dan Mad Kasim Saudi, 45, mengaku bersalah di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya kerana memiliki 13 jerigen berisi petrol yang disimpan di sebuah bot kayu di perairan selatan Mataking, Semporna, pada jam 9.30 pagi, 14 Ogos lalu.

Petrol itu ditemui dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah berhubung kegiatan berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen yang sah, sekali gus melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap. Setelah tamat menjalani hukuman, kedua-dua tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pendakwa Samat Mapiare daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili.