
KANGAR: Polis menahan dua individu dan merampas 20 kilogram (kg) dadah jenis ganja dianggarkan bernilai RM620,000 selepas menahan sebuah kereta di Lebuhraya Kuala Perlis - Changlun, dekat Arau, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Perlis, SAC Baderulhisham Baharudin, berkata kenderaan dinaiki kedua-dua suspek lelaki berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis pada jam 4.30 petang.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemui sebuah kotak yang mengandungi 20 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 20kg dan saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis ganja,“ katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata pihak polis juga bertindak menyita pelbagai aset suspek bernilai RM58,500 yang disyaki diperoleh hasil daripada aktiviti larangan. -Bernama
