Dua ditahan khianat kabel TM

LocalTechnology
3 Jan 2025 • 8:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dua lelaki ditahan kerana disyaki mencuri kabel TM di JRTB Gerik-Jeli. Gambar hiasan

image is not available
Zulkifli

GERIK - Polis berjaya menumpaskan kegiatan khianat kabel milik Telekom Malaysia (TM) apabila memberkas dua lelaki termasuk seorang remaja lelaki berusia 19 tahun pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, kegiatan itu berjaya dikesan apabila pasukan daripada Balai Polis Bersia menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Kilometer 2.2, Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) di sini.

Menurut beliau, pasukan ternampak sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap kenderaan yang dipandu lelaki berusia 23 tahun dan menjumpai gumpalan kabel tembaga yang telah dibakar.

"Turut ditemui beberapa peralatan memotong kabel. Suspek telah ditangkap dan barang kes dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zulkifli berkata, hasil siasatan lanjut membawa penahanan seorang lagi lelaki berusia 19 tahun di tepi jalan Kampung Bandariang di sini.

"Suspek kedua itu ditahan sekitar jam 2 pagi (Jumaat) kerana disyaki turut terlibat dengan suspek pertama.

"Kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan," katanya.