
SHAH ALAM, 8 SEPT: Khazanah IVP akan membina dua tempat penyimpanan dan penyelenggaraan pesawat seluas 99 ekar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya M Fuad Sharuji berkata projek dengan kerjasama Mara Corporation Sdn Bhd bertujuan merancakkan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Subang.
“Buat julung kali kita bekerjasama dengan Mara Corporation untuk perkongsian projek pembangunan dua buah hangar atas tanah milik IVP dan Unikl Mara.
“Tanah IVP seluas 99 ekar termasuk Mara Corporation (dua ekar). Jadi kita gabungkan (tanah) untuk mendirikan hangar. Sebenarnya kita juga ada empat lima ekar lagi tanah yang belum dijayakan,” katanya.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dimeterai sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini hari ini.
Pemeteraian MoU disaksikan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.
Sementara itu, Fuad berkata Khazanah IVP turut memeterai MoU dengan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi pengoperasian hangar MRO empat di lapangan terbang sama yang berkeluasan 220,000 kaki persegi.
“Kita buat tawaran kepada MAG untuk urus hangar MRO empat. Sebelum ini MAG urus hangar lima dan enam di situ dan selepas ini akan ada hangar empat yang dioperasikan pihak terbabit,” katanya.
The post Dua hangar pesawat bakal dibina di lapangan terbang Subang appeared first on Selangorkini.



