Dua helikopter terhempas di Lumut, 10 disahkan meninggal dunia - TLDM

23 Apr 2024 • 2:51 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Sepuluh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi ini.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut menerusi kenyataan memaklumkan insiden pada 9.32 pagi itu melibatkan 10 kru masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Selain itu, TLDM juga memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-dua pesawat berkenaan terjunam.

Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.