
PETALING JAYA – Dakwaan seorang pelanggan dari Malaysia terpaksa menunggu hampir dua jam untuk mendapatkan makanan di sebuah restoran makanan laut di Batam, Indonesia, mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan orang ramai.
Kejadian yang didakwa berlaku di sebuah restoren hidangan laut itu mendapat perhatian di Threads selepas pelanggan berkenaan mendakwa makanan yang dipesan masih belum dihidangkan meskipun sudah menunggu agak lama.
Lebih mengecewakan, pelanggan itu mendakwa terdapat pengunjung yang tiba kemudian menerima hidangan masing-masing terlebih dahulu.
Situasi tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga pelanggan berkenaan mengingatkan rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan semula pilihan mereka sebelum berkunjung ke premis berkenaan.
Sementara itu, ruangan komen hantaran tersebut turut dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang mencadangkan orang ramai meneroka destinasi pelancongan menarik dalam negara berbanding ke luar negara.
“Lebih baik kita jalan-jalan dalam Malaysia,” komen seorang pengguna.
Seorang lagi pengguna mencadangkan Terengganu sebagai destinasi pilihan, selain memuji keindahan batik yang menjadi antara tarikan negeri itu.
“Baik pergi Terengganu. Batik Terengganu dah la cantik-cantik,” katanya.
“Daripada pergi Batam, baik pergi Sabah, Sabah best weh,” seloroh seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post Dua jam tunggu makanan di Batam, tapi tak sampai-sampai appeared first on Kosmo Online.




