
KOTA BHARU - Seorang guru yang terlibat merempuh dua pelajar di sebuah sekolah menengah di sini, April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan berkaitan kejadian itu.
Sakinah Ismail, 57, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, Sakinah didakwa menyebabkan kematian Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, pelajar Tingkatan Satu, akibat kecuaian di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa, kira-kira jam 1.40 tengah hari pada 12 April lalu.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia turut berdepan pertuduhan membahayakan keselamatan seorang lagi pelajar Tingkatan Satu, Zara Akhtar Zamzuri, selepas didakwa melanggar pelajar itu menggunakan kenderaan Honda HR-V di tempat dan waktu yang sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzhir Abdullah, mencadangkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Hasif Hassan memohon mahkamah mengurangkan jumlah berkenaan, dengan mengambil kira kerjasama anak guamnya sepanjang siasatan, selain menetap di Kota Bharu dan tidak mempunyai rekod jenayah.
Menurutnya, Sakinah juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali dan diiktiraf sebagai guru berpersonaliti terbaik di sekolahnya tahun lalu.
“Anak guam saya juga menerima anugerah guru berpersonaliti terbaik di sekolah itu tahun lalu dan dijadualkan bersara pada 16 November ini,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Disember ini bagi penyerahan dokumen.
Sakinah sebelum ini direman selama dua hari bermula 13 April lalu bagi membantu siasatan polis berhubung kejadian.
Dalam insiden berkenaan, Honda HR-V yang dipandunya dilaporkan bergerak laju di luar kawalan selepas pedal minyak ditekan, sebelum merempuh dua pelajar terbabit. - Getaran, 13 Oktober 2026





