Dua juta kenderaan dijangka masuk Kelantan sempena Aidilfitri - JPJ

17 Mar 2025 • 1:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
JPJ Kelantan menganggarkan dua juta kenderaan akan memasuki negeri ini sempena Aidilfitri melalui tiga pintu utama iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Misuari)

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menganggarkan dua juta kenderaan akan memasuki negeri ini sempena Aidilfitri melalui tiga pintu utama iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, jangkaan itu berpandukan kepada statistik kemasukan kenderaan untuk sambutan Aidilfitri tahun-tahun sebelum ini.

Menurut beliau, aliran trafik dijangka semakin sesak bermula pada 28 Mac ini, iaitu beberapa hari sebelum sambutan hari raya.

"Untuk itu, seramai 187 pegawai dan anggota penguat kuasa akan ditugaskan sepanjang musim perayaan ini.

"Ia bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku khususnya melibatkan pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mohd Misuari menambah, cuti semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang terlibat turut dibekukan sepanjang tempoh perayaan ini.