
SEBERANG PERAI – Dua kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit genetik jarang berlaku, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2 memerlukan dana berjumlah RM1.04 juta bagi membolehkan mereka menjalani rawatan terapi gen di Jakarta, Indonesia, pada 24 Ogos ini.
Muhammad Hadeef Fayyadh Mohd. Farhan, dua tahun, dari Kuala Nerus, Terengganu dan Muhammad Iman Hafiz Muhammad Syafiq, lima tahun, yang berasal dari Taiping, Perak masing-masing memerlukan RM520,000 untuk menjalani rawatan berkenaan.
Bapa kepada Muhammad Iman, Muhammad Syafiq Muhammad Sharipuddin, 35, berkata, pergerakan anak sulungnya kini amat terbatas dan memerlukan bangku untuk sokongan semasa berdiri.
“Pada mulanya, doktor menganggap keadaan itu sebagai kelewatan perkembangan motor kasar (Gross Motor Delay) dan dia kemudiannya menjalani terapi fizikal serta terapi cara kerja.
Bagaimanapun tahun lalu, dia menjalani ujian genetik sebelum disahkan menghidap penyakit tersebut.
“Saya dan isteri, Nurin Syazleen Atiqa Mohd Supian, 27, menjual kuih-muih dan jumlah kos rawatan yang amat tinggi menyukarkan kami untuk mengumpulnya dalam masa singkat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, bapa Muhammad Hadeef, Mohd Farhan Azis, 35, berkata, perubahan keadaan fizikal anak tunggalnya itu mula disedari sejak tahun lalu apabila kedua-dua kakinya semakin hilang kekuatan.
Katanya, sebelum itu Muhammad Hadeef membesar secara normal dan sudah mula merangkak, berdiri serta gemar memanjat.
“Sejak tahun lalu, kami mula menyedari kedua-dua kakinya semakin hilang kekuatan. Ketika mandi, Hadeef tidak lagi mampu berdiri dan kadang kala tiba-tiba terduduk selain tidak lagi mampu memanjat kerusi seperti sebelum ini,” katanya yang bekerja sebagai penyelia pasar raya manakala isterinya, Nur Hidayah Mokhtar, 32, bekerja sebagai kerani.
Dalam pada itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya menyumbangkan RM100,000 sebagai permulaan dan amat mengharapkan ihsan rakyat Malaysia untuk membantu mencukupkan dana yang diperlukan.
Walaupun usaha mengumpulkan angka itu bukan satu tugas yang mudah, namun pihak kami akan tetap berusaha membantu mereka.
Orang ramai yang ingin membantu kedua-dua kanak-kanak itu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org. -KOSMO! ONLINE
The post Dua kanak-kanak hidap SMA perlu dana rawatan RM1.04 juta appeared first on Kosmo Digital.





