Dana asing RM300.9 juta kembali ke Bursa Malaysia pada Julai selepas dua bulan catat aliran keluar - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dana asing RM300.9 juta kembali ke Bursa Malaysia pada Julai selepas dua bulan catat aliran keluar - MBSB Research Image from: Dana asing RM300.9 juta kembali ke Bursa Malaysia pada Julai selepas dua bulan catat aliran keluar - MBSB Research hamden07/08/2026 - 09:44 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia pada Julai selepas dua bulan berturut-turut mencatatkan aliran keluar dana, dengan sektor Perkhidmatan Kewangan, Pengangkutan dan Logistik serta Utiliti muncul sebagai penerima utama aliran masuk modal.

 

Menurut Laporan Aliran Dana Mingguan terbaharu MBSB Research, institusi asing merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM300.9 juta sepanjang Julai, sekali gus mencerminkan pemulihan semula minat terhadap pasaran ekuiti tempatan walaupun sentimen pelaburan kekal berhati-hati.

 

Sektor Perkhidmatan Kewangan mendahului penerimaan aliran masuk dana asing sebanyak RM1.11 bilion, diikuti sektor Pengangkutan dan Logistik (RM367.2 juta) serta Utiliti (RM305.6 juta).

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, pemulihan itu tidak berlaku secara menyeluruh apabila sektor Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mencatatkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM759.7 juta, diikuti sektor Teknologi (RM484.9 juta) dan Produk serta Perkhidmatan Pengguna (RM212.8 juta).

 

Pada minggu terakhir Julai, institusi asing terus menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk RM11.1 juta, didorong terutamanya oleh sektor Perkhidmatan Kewangan yang menerima RM216.5 juta, Penjagaan Kesihatan (RM148 juta) dan Pengangkutan serta Logistik (RM107.4 juta).

 

Pelabur Asing Lebih Selektif

Ketua Penyelidikan MBSB Research, Imran Yassin Yusof berkata, komposisi aliran dana asing memberi gambaran lebih tepat mengenai sentimen pelabur berbanding jumlah keseluruhan aliran masuk.

 

Beliau berkata, pelabur asing kini lebih selektif dengan memberi tumpuan kepada sektor yang menawarkan prospek pendapatan lebih jelas, berkait rapat dengan ekonomi domestik serta mempunyai ciri defensif yang lebih kukuh.

 

"Walaupun kemasukan semula dana asing merupakan petanda yang menggalakkan, aliran masuk selama sebulan belum mencukupi untuk membuktikan wujudnya trend yang berkekalan.

 

"Harga pengeluar yang meningkat, petunjuk ekonomi yang semakin sederhana serta ketidaktentuan mengenai hala tuju kadar faedah global dijangka terus mempengaruhi selera pelabur dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya.

 

MBSB Research berkata, perkembangan itu berlaku ketika landskap ekonomi domestik menunjukkan isyarat bercampur-campur apabila Indeks Harga Pengeluar (PPI) Malaysia meningkat 9.2% tahun ke tahun pada Jun, paras tertinggi sejak Jun 2022 berikutan gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Timur Tengah.

 

Pada masa sama, Indeks Pelopor Malaysia susut 0.5% bulan ke bulan pada Mei, manakala pertumbuhan tahunannya perlahan kepada 0.8%, sekali gus mencerminkan prospek pertumbuhan ekonomi jangka pendek yang lebih sederhana.

 

Di peringkat global, bank-bank pusat utama termasuk Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Bank of England dan Bank of Japan mengekalkan kadar faedah masing-masing pada Julai, namun perbezaan pandangan dalam kalangan penggubal dasar menunjukkan risiko inflasi masih belum reda sepenuhnya.

 

Dalam kalangan lapan pasaran Asia yang dipantau MBSB Research, pelabur asing kekal menjadi penjual bersih bagi minggu keenam berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah AS$1.19 bilion.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Malaysia bagaimanapun kekal antara pasaran yang berjaya menarik aliran masuk dana asing bersama India, Korea Selatan, Indonesia, Thailand dan Filipina.

 

Menurut MBSB Research, minat baharu terhadap sektor Pengangkutan dan Logistik serta Utiliti memberi isyarat positif kepada industri yang berkaitan perdagangan, mobiliti, tenaga dan pembangunan perindustrian. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved